X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di 14 lokaliti Sabah, Johor, Pahang

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 14 kawasan di Sabah, Johor dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada 22 Jun sehingga 5 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Skim Pamalan, Keningau; Kampung Jaya Baru, Kunak; Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu; Kampung Serudung Baru, Tawau dan Ladang Brumas, Kalabakan.

“Turut dikenakan PKPD di empat lokaliti di Mukim Tenglu, Mersing, Johor adalah Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

“Lima lokaliti di taman perumahan di dalam kawasan Mentakab, Daerah Temerloh, Pahang turut dikenakan PKPD adalah Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujar Ismail Sabri, hasil daripada saringan, sebanyak 30 kes positif Covid-19 di Kampung Skim Pamalan, 20 kes di Kampung Jaya Baru, 12 kes di Taman Wijaya Park dan 10 kes di Kampung Serudung serta sembilan kes di Ladang Brumas.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di keempat-empat lokaliti Mukim Tenglu, Mersing, Johor. Sebanyak 54 kes positif telah direkodkan hasil daripada 268 ujian saringan yang dijalankan.

“Lapan kes positif direkodkan di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba (10 kes), Taman Saga (tiga), Taman Saga Indah (dua) dan Taman Sri Layang (tujuh).

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan tindakan kawalan Covid-19 dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan keluar dari kawasan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah berkuat kuasa 22 Jun sehingga 5 Julai ini.

Menurutnya, ia kerana masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di dalam kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan.

Tambah beliau, PKPD di 10 Lokaliti termasuk Kampung Murni C, Nabawan; Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson, Kota Belud; Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau dan Kampung Ongkilan, Kota Marudu ditamatkan pada 21 Jun ini.

“Turut tamat PKPD Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading, Jaya Gading, Kuantan; Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang manakala Apartment Taman Permata, Sandakan, Sabah ditamatkan pada 20 Jun.

“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” ujarnya.

-end-


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!