Covid-19: Empat lagi kluster baharu diisytihar di Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan empat lagi kluster baharu melibatkan daerah Kuching dan Miri, menjadikan jumlah kluster yang aktif di negeri itu meningkat kepada 95, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN dalam kenyataan memaklumkan, tiga daripada kluster itu telah dikesan di tempat kerja iaitu Kluster Jalan Usaha Jaya di Kuching yang menyaksikan 13 daripada 170 individu yang disaring dikesan positif Covid-19.

Bagi Kluster Jalan Tabuan Tranquillity, juga di Kuching, sejumlah 42 individu telah disaring dan 13 kes dikesan positif, manakala di Kluster Lorong Perlis Empat di Miri pula, sejumlah 796 individu telah disaring dan 33 kes dikesan positif.

Kluster komuniti yang dikesan di Skim Penempatan Semula Bengoh iaitu Kluster Kampung Taba Sait di Kuching pula menyaksikan sejumlah 31 individu telah disaring dan 10 kes telah dikesan positif.

Sarawak merekodkan 661 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 59,800 dan terdapat dua kematian baharu direkodkan yang menjadikan angka korban akibat wabak itu meningkat kepada 380 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: