X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan kenderaan di parkir kondominium musnah terbakar

Kebakaran di parkir sebuah kondominium yang menyebabkan lapan kenderaan musnah.
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Enam buah motosikal dan dua buah kereta musnah dalam kebakaran di Kondominium Villa Emas, Persiaran Bayan Indah di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran di sebuah kondominium berkenaan pada jam 3.05 petang.

"Kebakaran mengakibatkan enam buah motosikal dan dua buah kereta musnah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pihak bomba sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad

Menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan mengenai punca kejadian sama ada terdapat unsur khianat atau berpunca dari faktor lain.

"Kita akan siasat, namun perlu menunggu siasatan daripada pihak forensik bomba dahulu," katanya.

Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian pada petang Ahad.
Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian pada petang Ahad.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat dua buah kereta dan enam motosikal di kawasan parkir kondominium tersebut musnah disambar api.

"Hampir keseluruhan lapan kenderaan tersebut terbakar dalam kejadian itu. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.22 petang.

"Kita turut mendapat bantuan dari BBP Jalan Perak dan Pasukan Bomba Sukarela yang berdekatan," katanya ketika dihubungi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!