Kolaboratif semua pihak tangani keganasan rumah tangga: NGO

Sharifah Hazlina
Sharifah Hazlina
A
A
A

LUMUT - Penglibatan pelbagai pihak serta tindakan pantas dan tegas perlu digerakkan bagi membendung kes-kes keganasan rumah tangga.

Pengerusi Nation Of Women (NOW) Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, kejadian yang dilaporkan media baru-baru ini hingga menyebabkan mangsa parah seharusnya membuka mata semua pihak mengenai keseriusan kejadian itu.

"Akta Keganasan Rumahtangga 1984 telah ditambahbaik dan dipersetujui melalui Mesyuarat Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumahtangga yang berlangsung pada 4 Jun tahun lalu yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga, lelaki, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Namun, persoalannya adakah garis panduan ditetapkan serta penambahbaikan ini berkesan dalam meredakan lonjakan kes-kes keganasan rumah tangga?" soalnya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Sharifah Hazlina berkata, kes sebegini lazimnya rumit disebabkan pelapor seringkali menarik balik aduan apabila dipujuk oleh pelaku kerana memikirkan masa depan diri dan anak-anak.

Katanya, kes keganasan rumah tangga mungkin dapat dikurangkan jika semua pihak mampu berkolaboratif.

"Polis perlu serius menyiasat kes-kes berkenaan kerana jika tiada sebarang tindakan tegas tidak mustahil kejadian keganasan itu akhirnya menjadi kes pembunuhan.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) amat memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan proses membantu dan mengeluarkan mangsa daripada situasi bahaya dapat dilakukan tanpa sebarang gangguan dan ancaman si pelaku mahupun keluarganya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Setiausaha Penggerak Komuniti Negara Perak berkata, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan boleh bertindak memberi pendedahan kepada golongan pekerja khususnya wanita dan pelajar sekolah mengenai hak mereka dan tindakan yang perlu dilakukan jika terlibat dalam kes itu.

"NGO juga boleh mewujudkan kerjasama menyeluruh dengan rumah perlindungan dalam pengurusan trauma dan kaunseling secara berkelompok bagi membantu mengawal bilangan kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini," katanya.