Tiada sidang DUN Kelantan sehingga Parlimen bersidang

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak akan diadakan sehingga Parlimen bersidang terlebih dahulu. - Gambar hiasan
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak akan diadakan sehingga Parlimen bersidang terlebih dahulu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mengikut jejak langkah Kedah untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Parlimen bersidang terlebih dahulu.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, keputusan dibuat hasil daripada perbincangan yang dilakukan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Ahad.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan mengadakan persidangan DUN dalam tempoh terdekat berikutan masih terikat dengan Ordinan Darurat.

“DUN Kelantan hanya akan diadakan selepas Parlimen mengumumkan tarikh bersidang.

“Sekiranya diadakan, sidang DUN Kelantan juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepertimana sidang Parlimen yang akan diadakan sama ada bersemuka mahupun secara dalam talian atau hibrid,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya akan meneliti dan merujuk format serta SOP Parlimen sebagai panduan mengadakan sidang DUN.

“Bentuk persidangan DUN kelak bergantung kepada perkembangan semasa selepas Parlimen bersidang,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan ordinan itu, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil serta persidangan Parlimen dan DUN tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat.