KeTSA henti keluar kelulusan aktiviti melombong kawasan diwartakan

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Kawasan Rizab Perlindungan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah tersebut turut merangkumi kawasan yang telah diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Beliau berkata, selaras dengan fungsi kawal selia yang diperuntukkan kepada KeTSA, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan berkenaan.

“Kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Shamsul berkata, sebagai ‘national focal point’ bagi program Man And The Biosphere (MAB) Unesco, KeTSA akan sentiasa menyokong usaha dan komitmen kerajaan negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Dalam usaha tersebut, katanya, KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha mempertahankan pengiktirafan status tapak biosfera Unesco.

“Diharapkan dengan adanya inisiatif daripada kerajaan negeri Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.

“Pihak Sekretariat Unesco Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara,” jelasnya.

Pada 13 Jun lalu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Pahang telah mewartakan Tasik Chini dengan kawasan seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.

Pada tahun 2009, Malaysia mula menyertai program MAB Unesco menerusi pengiktirafan diberikan kepada Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar pada 26 Mei tahun tersebut.

Inisiatif berkenaan melibatkan program saintifik antara kerajaan (inter governmental) bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.