'Itali anggap Wales keras seperti Stoke City'

Sesi latihan pasukan Itali menjelang perlawanan menentang Wales. -Foto EPA
Sesi latihan pasukan Itali menjelang perlawanan menentang Wales. -Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini mengingatkan pemainnya berhati-hati dengan aksi keras Wales ketika kedua-dua pasukan bertemu bagi aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Olimpico, Rom tengah malam ini.

Menurut Mancini, aksi keras dipamerkan Wales mirip aksi yang dipamerkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Stoke City yang pernah disaksikannya ketika mengendalikan Manchester City mulai musim 2009 hingga 2013 lalu.

Mancini berkata, pada ketika itu, dia sering berdepan kesukaran berdepan Stoke kerana perlu berhempas pulas berdepan dengan aksi keras selain perlu menyaingi cabaran dari segi fizikal ketika beraksi.

“Stoke memiliki gaya permainan yang lasak dan ia menjadikan agak sukar ketika berdepan mereka. Ia ibarat biji kacang yang sukar untuk dipecahkan.

“Begitu juga dengan aksi dipamerkan oleh Wales kali ini, cumanya mereka (Wales) juga dilihat mempunyai kelebihan dari segi teknikal dengan kehadiran pemain-pemain seperti (Joe) Allen, (Gareth) Bale dan (Daniel) James adalah antara pemain yang berkualiti dan mempunyai skil yang tinggi.

“Oleh itu, kami meramalkan untuk menerima tentangan sengit ketika berdepan Wales hari ini,” katanya.

Sementara itu Mancini berkata, biarpun skuad The Azzurri itu telah mengesahkan slot untuk beraksi pada pusingan 16 pasukan terbaik, namun dia tetap berharap untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan.

Oleh itu katanya, beberapa pertukaran pemain bakal berlaku pada aksi berdepan Wales dalam usaha merealisasikan misi kemenangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Perlawanan ini adalah aksi ketiga kami bagi saingan Euro 2020 dan kami seharusnya mula melakukan penggiliran pemain bagi memastikan pemain benar-benar cergas untuk beraksi.

“Justeru bagi perlawanan ketiga dalam tempoh 10 hari yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas sehingga 30 darjah celcius, kita sememangnya akan melakukan penggiliran pemain,” katanya.