Ahli PKR perlu terbuka terima individu ingin sertai parti: Anwar

Anwar ketika menyampaikan ucapan sempena Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.
Anwar ketika menyampaikan ucapan sempena Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya ahli partinya terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang ingin menyertai mereka.

Beliau berkata, ahli tidak boleh bersikap keras atau menolak hasrat individu yang menunjukkan kesungguhan untuk menyertai parti hanya disebabkan 'sejarah' mereka yang mengkhianati PKR sebelum ini.

Menurut Anwar, sikap sedemikian tidak tidak boleh diterima kerana ia bakal mewujudkan perpecahan dalam parti.

"Kita tidak mahu parti mengambil satu sikap yang terlalu keras terhadap kalangan yang mahu menyertai dan memperkuatkan parti.

"Kita sekarang sampai ke tahap di mana pimpinan Keadilan dilihat sebagai mampu menjadi alternatif (parti pilihan).

"Jadi, keputusannya adalah keputusan jemaah bukan keputusan saya, bukan keputusan presiden atau kelompok tertentu, tetapi ia perlu dilakukan secara bersama," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sikap terbuka itu perlu bagi memastikan parti lebih berkembang selain memberi ruang kepada mereka yang mempunyai hasrat selari dengan parti itu.

Anwar berkata, beliau tidak boleh menjangka sesiapa yang kemungkinan akan mengkhianati PKR sebaliknya hanya boleh menetapkan peraturan dan disiplin untuk dipatuhi.

Artikel Berkaitan: