UMNO disaran tarik diri jika kerajaan PN ingkar titah Agong

Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO Terengganu mencadangkan supaya parti itu menarik diri sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih bersikap acuh tidak acuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang segera.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, ia sejajar dengan pendirian Pemuda UMNO supaya satu keputusan tegas dibuat sekiranya kerajaan masih gagal membuka Parlimen dalam tempoh 14 hari.

"Sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, seharusnya memahami titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja pemerintah sebagai panduan menyelesaikan kemelut rakyat serta tidak membuat tafsiran di luar konteks asal.

"Melewat-lewatkan pelaksanaan titah itu menggambarkan tindakan berpolitik yang menjurus kepada penderhakaan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Ahad.

Tengku Haphiz berkata, Parlimen merupakan pentas perbahasan untuk mencari formula paling ampuh, antaranya bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi serta program bantuan ekonomi rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kerajaan sepatutnya lebih bersifat inklusif terutama menerima idea semua pihak dalam membantu wang saku rakyat yang semakin tipis.

"Misalnya pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari 2.0 wajar dibuka kembali kepada rakyat atau setidak-tidaknya berilah peluang agar ia dibahaskan di Parlimen supaya ruangan cadangan bercambah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kesal dengan sikap lewa kerajaan Pusat memenuhi peruntukan tambahan PKP 3.0 bagi Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, pihaknya turut khuatir terhadap perkembangan program vaksinasi di negeri ini yang bergerak perlahan, sedangkan jumlah pendaftaran sudah mencecah 440,000 orang iaitu melebihi separuh rakyat yang sepatutnya diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19.

"Berdasarkan rekod kenaikan harga minyak mentah dunia, purata enam bulan tahun ini adalah bersandar pada harga AS$68.85 per tong. Jadi, Terengganu sepatutnya memperoleh sedikit tambahan pendapatan iaitu sekurang-kurangnya RM600 juta hasil royalti Petronas untuk Terengganu," kata beliau.