Pelan Pemulihan Negara musnah jika UMNO tarik sokongan 1 Ogos

Pengamal media yang masih menunggu hasil mesyuarat BN di Menara Dato Onn hari ini.
Pengamal media yang masih menunggu hasil mesyuarat BN di Menara Dato Onn hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Pemulihan Negara yang dirangka bagi mendepani krisis pandemik Covid-19 berisiko musnah jika ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas 1 Ogos hadapan.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sekiranya UMNO memuktamadkan arahan ahli-ahli Parlimennya untuk keluar daripada kerajaan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya tiada pilihan lain selain terpaksa memohon perkenan pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, hal ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap sudah tiada majoriti sokongan ahli Parlimen susulan bilangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan ketika ini berjumlah 35 daripada keseluruhan 38 orang.

Untuk rekod, tiga ahli Parlimen UMNO sudah menarik sokongan terhadap kerajaan PN secara terbuka sebelum ini ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

Jelas Ahmad Atory, keputusan itu juga akan memberi implikasi besar kepada masa hadapan UMNO sekiranya direalisasikan kerana tumpuan rakyat pastinya terarah kepada persoalan bentuk kerajaan baharu atau siapa bakal Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin kelak.

Ahmad Atory
Ahmad Atory

"Pada saat kritikal ini, keputusan melaksanakan PRU15 pada saat pandemik mungkin bukan opsyen terbaik untuk dipenuhi Yang di-Pertuan Agong kerana kita tidak mahu kesan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu berulang.

"Lebih membimbangkan, Pelan Pemulihan Negara yang sudah dirangka sebagai 'exit strategy' bagi menyelesaikan tri-krisis meliputi politik, ekonomi dan kesihatan mungkin berisiko gagal direalisasikan sekiranya politik perebutan kuasa masih berjalan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan UMNO itu, sekiranya direalisasikan, bakal memberi persepsi negatif untuk jangka masa panjang dalam kalangan rakyat, seolah-olah parti itu masih meletakkan kepentingan politik mendahului kepentingan rakyat pada saat krisis," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus UMNO bakal membincangkan keputusan memuktamadkan arahan kepada ahli-ahli Parlimen parti itu untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN pada 1 Ogos ini, pada malam Ahad.

Sejak Jumaat, beberapa portal media melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengadakan mesyuarat biro politik parti itu di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada jam 8 malam.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini mengeluarkan kenyataan meminta Muhyiddin tidak 'takut' membuka kembali sidang Parlimen sebagaimana dizahirkan melalui titah Yang di-Pertuan Agong pada Rabu.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Tajuddin turut memberi jaminan UMNO tidak akan mengusulkan undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri pada sidang Parlimen kelak.

Beliau sebaliknya berpandangan UMNO akan lebih fokus untuk membahaskan soal tadbir urus kerajaan PN sepanjang menguruskan pandemik Covid-19 serta darurat di samping mahu mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh membantu rakyat terkesan teruk.

Dalam pada itu, Ahmad Atory turut berpandangan sebarang strategi politik untuk melumpuhkan kerajaan PN pada saat kritikal sebenarnya membuka ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan kerajaan interim sebagai alternatif kepada pelaksanaan PRU15.

Ujarnya, sekiranya kerajaan interim ditubuhkan, Muhyiddin masih lagi berpeluang besar untuk terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri interim.

Tambah Ahmad Atory, hal ini memandangkan Seri Paduka Baginda mungkin berpandangan tiada seorang pun calon lain termasuk Presiden Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipercayai mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen mencukupi.

"Kalau kerajaan PN jatuh, siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin UMNO sekiranya gabungan baharu terbentuk? UMNO kini sudah berpecah kepada lima puak dengan Ahmad Zahid sendiri dilihat kurang dihormati pemimpin-pemimpin UMNO terutama mereka berstatus menteri.

"Adakah UMNO sanggup ambil risiko angkat Anwar jadi Perdana Menteri? Anwar sendiri pun belum tentu mempunyai sokongan padu daripada blok pembangkang yang turut dianggotai Dr Mahathir sendiri.

"Pandangan saya, lebih baik semua pihak beri ruang kepada Muhyiddin uruskan dahulu krisis Covid-19 dan berpolitiklah kembali sesama mereka hanya setelah negara kembali normal," katanya.