Polis Kelantan pantau SOP sambutan Aidiladha

Abdullah (duduk) menandatangani buku lawatan sempena turun padang melihat penugasan perlaksanaan PKPD Taman Seri Purnama, Kampung Nara, Pasir Puteh pada Ahad.
Abdullah (duduk) menandatangani buku lawatan sempena turun padang melihat penugasan perlaksanaan PKPD Taman Seri Purnama, Kampung Nara, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan akan menggerakkan seluruh anggotanya untuk melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat negeri ini sepanjang tempoh perayaan Aidiladha.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pemantauan itu bertujuan memastikan seluruh penduduk mematuhi SOP dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

"Saya menyeru kepada seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada SOP pada sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Abdullah bersama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri turun padang melihat penugasan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Seri Purnama, Kampung Nara di sini.

Menurut beliau, lebih 4,000 pegawai termasuk anggota lain-lain pangkat sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk melakukan penugasan sepanjang musim perayaan itu nanti.

Mengulas mengenai PKPD di kawasan berkenaan, Abdullah berkata, pihaknya akan memperketatkan rondaan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk berlaku di lokaliti itu.

Katanya, tiada sebarang laluan tikus dikesan wujud di lokasi itu memandangkan semua rumah mempunyai pagar dan hanya mempunyai tiga laluan keluar masuk.

"Setakat ini, seramai 28 penduduk telah disahkan positif Covid-19 daripada jumlah keseluruhan iaitu 236 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, tahap pematuhan SOP Sekatan Pergerakan Penuh rakyat negeri ini berada pada tahap 95 peratus.