Bantuan katil, tilam angin buat warga emas lumpuh

Pegawai Muip cawangan Pekan menyantuni keluarga Zabedah di Kampung Pulau Rusa bagi menyerahkan bantuan katil dan tilam pada Sabtu. - Foto Muip
Pegawai Muip cawangan Pekan menyantuni keluarga Zabedah di Kampung Pulau Rusa bagi menyerahkan bantuan katil dan tilam pada Sabtu. - Foto Muip
A
A
A

PEKAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang ( Muip) meluluskan bantuan segera bagi meringankan beban keluarga seorang wanita warga emas yang terlantar di Kampung Pulau Rusa di sini, pada Sabtu.

Timbalan Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya meluluskan bantuan peralatan berupa katil dan tilam angin bernilai RM3,000 untuk kegunaan Zabedah Talib, 70, yang lumpuh selain menghidap hipertensi dan diabetes.

Menurutnya, peralatan itu disumbangkan bagi menggantikan katil sedia ada yang sudah uzur dan sudah tidak berfungsi.

"Pada masa sama, pihak Muip turut menghulurkan bantuan susu khas kepada warga emas itu bernilai RM600 sebulan.

"Semua barangan ini telah dihantar dan diterima pesakit pada Sabtu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Asmadi memberitahu, bantuan zakat bulanan juga akan menyusul bagi mengurangkan kos rawatan yang ditanggung oleh keluarga sepanjang rawatan.

"Kita difahamkan, pesakit ini perlu dibawa ke hospital secara berkala bagi mendapatkan rawatan dan perlu menyewa ambulans swasta bagi urusan tersebut. Jadi, dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga ini," katanya.

Sementara itu katanya, Muip telah membelanjakan RM2.18 juta untuk kepada fakir miskin termasuk bantuan peralatan kepada pesakit yang memerlukan dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes bantuan segera, kita mendapat kerjasama Muip daerah dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan serta menyalur maklumat tentang mereka yang memerlukan.

"Melalui maklumat itu, kita akan menyantuni keluarga berkenaan dan jika ada keperluan bantuan dihulurkan segera, kita akan terus berbuat demikian,"katanya.

Asmadi berkata, pihak Muip juga prihatin dengan mereka yang ditimpa musibah bencana dengan menyediakan bantuan bersesuaian.

"Antara bentuk bantuan tersebut termasuklah wang kecemasan.

"Terbaharu, pada Sabtu, Muip menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga di Felda Chini 5 di sini apabila rumah mereka rosak selepas dihempap pokok," katanya.

Tambahnya, bantuan wang tunai telah diserahkan bagi menampung sebahagian daripada kos pembaikan rumah.