X

Kindly register in order to view this article
!

YBK, MyFundAction santuni keluarga memerlukan di PPR

Zainal (tiga dari kiri) bersama Siti Aisyah (dua dari kanan) bergambar bersama salah seorang penerima bantuan berkenaan.
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) meneruskan inisiatif bagi menyantuni keluarga memerlukan di empat lagi kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi pemberian Kotak Rezeki Ummat.

Empat PPR terlibat adalah membabitkan PPR Laksamana, PPR Salak Selatan, PPR Sri Semarak dan PPR Taman Wahyu.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, menerusi pemberian kali ini, pihaknya memilih PPR di sekitar Kuala Lumpur memandangkan terdapat ramai masyarakat miskin bandar yang memerlukan bantuan dan terkesan khususnya sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pada hari ini, kita akan menyerahkan sumbangan kepada 250 keluarga di PPR sekitar Kuala Lumpur yang mana mereka rata-ratanya berpendapatan bawah RM1,500 dan terkesan dengan pelaksanaan PKP ini," katanya selepas menyerahkan sumbangan itu dalam majlis ringkas yang berlangsung di PPR Laksamana pada Ahad.

Sebelum ini, YBK bersama MyFundAction turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki Ummat kepada 250 keluarga di empat PPR sekitar Selangor.

Hadir sama bagi menyampaikan sumbangan menerusi majlis itu adalah Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Syahid.

Dalam pada itu, Zainal berkata, pihaknya berharap agar penerima sumbangan itu akan mendapat manfaat dan menggunakan barangan keperluan dengan sebaiknya.

"YBK amat memahami ramai keluarga terkesan sejak PKP pertama dilaksanakan dan disebabkan itulah kami menjalinkan kerjasama dengan MyFundAction bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Siti Aisyah berkata, setiap kotak sumbangan itu bernilai RM140 dan mengandungi beberapa barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan lain-lain.

Katanya, setiap keluarga dijangka dapat bertahan menggunakan barangan keperluan tersebut dalam tempoh dua minggu khususnya sewaktu pelaksanaan PKP ini.

"Sewaktu fasa 'lockdown' ini, apa yang penting adalah untuk pastikan bantuan sampai dalam apa cara sekali pun dan disebabkan itulah kita turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat kurier untuk mohon bantuan tajaan pengangkutan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!