Ramai orang asli mulai sedar kepentingan vaksin

Masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong di sini sudah mula sedar mengenai kepentingan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
Masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong di sini sudah mula sedar mengenai kepentingan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

BALING - Ramai anggota masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong di sini sudah mula sedar mengenai kepentingan vaksin Covid-19 dan rata-rata dalam kalangan mereka dilihat sudah tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin itu.

Tok Batin Razali Kulim, 42, ketika ditemui Bernama berkata, pada mulanya kebanyakan penduduk orang asli di situ menolak vaksin berkenaan kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan mereka termasuk meninggal dunia akibat terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebar menerusi media sosial mengenai kesan vaksin itu.

"Mereka tidak tahu baca, anak-anak yang bercerita kepada ayah mereka yang ambil vaksin ini boleh matilah apa semua... sehinggakan ada antara mereka kata nak lari masuk hutan kalau pi (pergi) ke rumah mereka nak cucuk vaksin," katanya.

Bagaimanapun Razali berkata, rata-rata anggota masyarakat di situ kini mula sedar selepas beliau bersama pihak Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kampung memberikan penerangan secara bersemuka dari rumah ke rumah mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksinasi.

Sehubungan itu, beliau sangat mengharapkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat orang asli di perkampungan itu dapat dipercepatkan kerana setakat ini hanya beliau dan pakciknya yang telah menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Orang asli di perkampungan ini ada 350 orang (termasuk 80 budak-budak) daripada 84 keluarga, yang mana majoriti anak buah (penduduk kampung dewasa) saya di sini telah bersetuju untuk mengambil vaksin; (walaupun) yang pada awalnya mereka takut-takut untuk cucuk (suntik) vaksin,” katanya.

Sementara itu bapa Razali, Kulim Keramat, 80, berkata, dia sangat bersemangat dan tidak sabar menunggu tarikh janji temu mendapatkan suntikan vaksin berkenaan selepas membuat pendaftaran pada Februari lepas.

Seorang lagi penduduk kampung, suri rumah Norlela Rajin, 34, berkata, dia membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin itu pada April lepas dan tidak sabar menantikan tarikh janji temu itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di Kangar, Perlis, warga emas, Chong Kuay Ching, 58, dari Kaki Bukit, Padang Besar turut mengajak orang ramai untuk menerima suntikan, kerana baginya rugi jika menolak vaksin yang bukan sahaja percuma, malah pelbagai kemudahan disediakan untuk ke PPV.

Katanya, dia menggunakan perkhidmatan pengangkutan kerajaan negeri ke PPV dan berasa sangat seronok dapat pergi bersama-sama lima lagi rakan sekampungnya bagi menerima suntikan dos pertama di PPV Dewan 2020 di Padang Besar pada Ahad.

"Dahulu saya ingat vaksin ini kena beli, rupa-rupanya kerajaan yang beli dan rakyat dapat secara percuma sahaja," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof memberitahu, empat bas dan lapan van daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Majlis Sukan Negeri (MSN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jabatan Imigresen Malaysia Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) disediakan bagi menghantar mereka yang memerlukan bantuan pengangkutan ke PPV.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Perlis berkata, mereka yang memerlukan bantuan pengangkutan diminta segera berhubung dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis.

Seorang peniaga kopitiam Khor Sooi Hwang, 56, ketika ditemui berkata, peniaga makanan perlu segera mendapat vaksin Covid-19 kerana setiap hari mereka berhadapan dengan ramai pelanggan.

Turut berkongsi pandangan sama peniaga nasi lemak Rozi Seman, 66, yang berkata, suntikan vaksin adalah pelindung bagi peniaga daripada risiko dijangkiti wabak Covid-19. - Bernama