Kelantan terima tambahan vaksin 550,000 setiap bulan

Ahmad (dua dari kanan) dan Che Abdullah (kanan) menyampaikan 560 pek makanan kepada Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah sebagai wakil penduduk di PKPD Kutan Tengah, Tumpat.
Ahmad (dua dari kanan) dan Che Abdullah (kanan) menyampaikan 560 pek makanan kepada Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah sebagai wakil penduduk di PKPD Kutan Tengah, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Kelantan akan menerima tambahan vaksin berjumlah 550,000 setiap bulan bagi memastikan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk di negeri itu selesai pada akhir Oktober ini sebagai persediaan berdepan musim tengkujuh yang dijangka bermula pada bulan itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemberian vaksin seterusnya akan dilakukan pada Julai dengan memberi keutamaan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula di Parlimen Tumpat.

Katanya, langkah diambil bagi mengelakkan kesulitan proses pemvaksinan di pusat pemberian vaksin (PPV) oleh pihak berkuasa.

“Apabila berlaku banjir, kita bimbang menjejaskan proses pemberian vaksin dan menyukarkan lagi keadaan.

“Dos vaksin belum habis diberi tetapi kemudian penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), ini akan menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 560 pek makanan kepada penduduk di kawasan PKPD di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya sudah menyusun jadual melalui Program Outreach bagi mencapai sasaran rakyat Kelantan selesai menerima vaksin.

“Kelantan akan menerima lagi bekalan vaksin pada bulan depan dan penambahan kepada 550,000 setiap bulan yang akan dimulakan dengan kawasan PKPD di Kampung Kutan Tengah.

Artikel Berkaitan:

“Jadual disusun menerusi Pejabat Ahli Parlimen (Tumpat) serta pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk kita beri keutamaan vaksinasi kepada penduduk di sini, pada awal Julai nanti,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan kerajaan Pusat akan memastikan proses suntikan vaksin di negeri yang berdepan musim tengkujuh, khususnya di pantai timur diselesaikan menjelang hujung Oktober depan.