ATM, PGA perketat kawalan sempadan cegah penularan Covid-19

Muhammad Hafizuddeain (empat dari kanan) dan Abdullah memantau petugas yang menjalankan pemeriksaan di SJR Pasir Pekan, Tumpat pada Ahad.
Muhammad Hafizuddeain (empat dari kanan) dan Abdullah memantau petugas yang menjalankan pemeriksaan di SJR Pasir Pekan, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan operasi bersepadu bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, operasi menerusi projek rintis yang bermula sejak 16 Jun lalu itu adalah sebagai salah usaha mengawal penularan Covid-19.

"Kita sedar kewujudan varian bahaya Covid-19 berpunca daripada PATI, jadi dengan usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu melandaikan lengkung pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita dalam satu lawatan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pasir Pekan di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis@Shaffiee dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asistan Komisioner, Abdullah Mohammed Piah.

Muhammad Hafizuddeain berkata, kerjasama antara kedua-dua pasukan keselamatan tersebut diyakini dapat mengoptimumkan kawalan keselamatan sempadan negara.

Mengulas lanjut, dalam usaha memperketat kawalan sempadan, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dibekalkan pelbagai aset untuk memperkasakan keupayaan operasi setiap pasukan keselamatan bertugas.

“Semalam, sebanyak 29 motosikal scrambler diserahkan kepada 8 Briged ATM.

“Inisiatif ini untuk meningkatkan keupayaan mobiliti ke kawasan yang jauh dan sukar dilalui kenderaan empat roda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan di Kelantan selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata, kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM bersama pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap terbaik.

“Hasil taklimat daripada pihak PGA semalam, pasukan itu bersama agensi lain merampas pelbagai jenis barangan melibatkan jenayah rentas sempadan.

“Nilai rampasan pelbagai barangan itu mencecah hampir RM900,000 dalam tempoh empat hari ini,” katanya.