Negeri Sembilan buka semula permohonan pinjaman TUNS Plus

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membuka semula permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) Plus selama sebulan yang bermula 25 Jun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, TUNS Plus adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan bermula awal tahun lalu oleh kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu usahawan mikro di negeri ini.

Menurut beliau, bantuan pembiayaan secara pinjaman mudah tanpa faedah disediakan sehingga RM15,000.

"Dana peruntukan yang disediakan untuk TUNS Plus adalah sebanyak RM3 juta yang boleh membiayai lebih kurang 200 usahawan mikro.

"Usahawan mikro Negeri Sembilan termasuk usahawan yang telah menerima pembiayaan dana bantuan geran TUNS boleh memohon untuk mendapatkan pinjaman mudah tanpa faedah di bawah skim TUNS Plus Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mohamad Rafie berkata, setakat tempoh ini jawatankuasa TUNS Plus telah menerima 267 permohonan, tetapi 190 permohonan terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kriteria seperti bukan usahawan Negeri Sembilan dan lain-lain.

Tambahnya, sebanyak 77 permohonan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Kelulusan TUNS Plus 2021 yang akan bersidang pada 24 Jun ini.

Beliau berkata, bantuan ini adalah salah satu usaha untuk mengembangkan pembangunan usahawan mikro, mula diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bermula pada tahun 2019 dengan jumlah RM3 juta yang telah memberi manfaat kepada 1,046 usahawan mikro.

Artikel Berkaitan:

Kini, TUNS Plus dibuka semula untuk permohonan usahawan mikro Negeri Sembilan bermula 25 Jun menerusi laman sesawang, https://tuns.my.

Tarikh tutup adalah pada 25 Julai 2021.