MPP PKR tidak isi kekosongan jawatan ditinggalkan

Saifuddin dalam Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.
Saifuddin dalam Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan untuk tidak mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan di peringkat pusat sehingga pemilihan parti yang akan datang.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dipersetujui walaupun terdapat kekosongan jawatan seperti seperti timbalan presiden, naib presiden dan anggota MPP.

“Perjalanan parti di peringkat pusat akan kekal seperti keadaan sekarang tanpa mengisi kekosongan jawatan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakan lama kita,” katanya dalam Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.

Pada tahun lepas, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu manakala pada 13 Mac tahun ini, Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden dan ahli PKR.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kongres nasional tahunan parti itu turut bersetuju melulus usul penangguhan pemilihan parti dan tempoh memegang jawatan MPP dan jawatankuasa cabang 2018-2021.

Menurutnya, penangguhan tersebut dibolehkan mengikut fasal 47.3 perlembagaan parti namun tidak boleh melepasi tempoh 18 bulan dari tempoh tamat pemilihan lepas dan pegangan jawatan.

“Pemilihan parti lazimnya berlangsung hampir enam bulan membabitkan peringkat cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita PKR dan MPP.

“Pemilihan parti ialah sistem satu anggota satu undi yang berjalan secara himpunan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“PKR sekarang mempunyai keanggotaan sebesar 1,033,000 yang jika 30 peratus sekalipun keluar mengundi akan terdedah risiko Covid-19 yang amat membahayakan,” ujarnya.