Suarez, Cavani tumpul

Cavani
Cavani
A
A
A

PENGENDALI Uruguay, Oscar Tabarez mengakui risau dengan prestasi jentera serangan pasukannya itu selepas kekalahan 0-1 kepada Argentina dalam perlawanan Copa America pada Sabtu.

Menurutnya, barisan serangan yang diterajui Luis Suarez dan Edinson Cavani itu juga gagal meledak dalam lima perlawanan terakhir pasukan itu sebelum ini.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan Tabarez dengan pasukan yang memiliki 15 kejuaraan Copa America itu akan menentang Chile di Arena Pantanal, Brazil pada awal pagi Selasa ini.

"Dalam situasi ini, kami tidak mendapat banyak peluang di hadapan gol dengan kelemahan terutama di bahagian tengah selain gagal untuk mencipta gerakan dengan baik sepanjang perlawanan.

"Kami mempunyai pemain yang mampu menjaringkan gol, tetapi kami tidak mempunyai pemain yang mampu untuk melorongkan bola dan keadaan ini akan menjadi sukar apabila menentang pasukan hebat seperti Chile nanti.

"Saya melihat kami cuba untuk menembusi pasukan lawan, tetapi apa yang kami lakukan tidak cukup. Kami kekurangan usaha untuk menjaringkan gol dan mendapatkan kemenangan," katanya.

Uruguay yang kekurangan satu perlawanan kini berada di kedudukan keempat kumpulan B dan akan mengharungi tiga perlawanan lagi menentang Chile, Bolivia dan Paraguay.

"Terdapat banyak perkara yang kami perlu perbaiki. Kami akan terus melihat memandangkan ini adalah perlawanan pertama kami dalam kejohanan ini. Perjalanan sebenar kami akan bermula ketika perlawanan menentang Chile nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kami perlu mendapatkan keputusan positif ketika menentang Chile dan konsisten dalam dua perlawanan menentang Bolivia dan Paraguay. Saya percaya dengan kemampuan para pemain saya," katanya.