'Krisis perlembagaan jika sidang Parlimen tidak disegerakan'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Tindakan tidak menyegerakan persidangan Parlimen sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikhuatiri akan mewujudkan krisis perlembagaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, titah Seri Paduka Baginda perlu diambil serius oleh badan eksekutif negara kerana jika lambat dianggap sebagai krisis perlembagaan antara Raja-Raja dengan Perdana Menteri dan kabinet.

"Jangan ada krisis perlembagaan selepas krisis Covid-19. Di mana hasrat raja berperlembagaan yang meminta badan eksekutif negara melaksanakan sesuatu tidak dilaksanakan.

"Raja sudah bertitah, tetapi masih lambat untuk laksanakan. Tindakan itu boleh dianggap sebagai krisis perlembagaan. Ini yang kita tidak mahu dan perlu elak," katanya ketika ditemui selepas membantu pendaftaran vaksin bersama sukarelawan Southern Voluteers (SV) di Kampung Parit Kerimon, Benut di sini pada Ahad.

Menurut Ahmad, kematangan kerajaan negeri Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melaksanakan dengan segera titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung perbincangan dengan semua wakil rakyat seharusnya menjadi contoh kepada kerajaan Persekutuan.

"Dalam tempoh seminggu daripada titah itu, perbincangan bagi membendung penularan Covid-19 telah diadakan dengan pejabat-pejabat daerah dijadikan pusat untuk perbincangan dan akhirnya selesai tanpa sebarang masalah.

"Oleh itu, dalam konteks titah Seri Paduka Baginda, bukan sebulan dua untuk dilaksanakan tetapi sewajarnya dalam tempoh seminggu dua ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan seharusnya mempercepatkan vaksinasi kepada pegawai dan kakitangan Parlimen bagi membolehkan persidangan Parlimen secara bersemuka diadakan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, notis 28 hari sebelum sidang Parlimen perlu dipendekkan. Notis daripada Perdana Menteri ini boleh dipendekkan," katanya.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin