Perhilitan lepas tapir betina di Taman Alam Liar Kenaboi

Tapir yang dilepaskan ke habitat selamat di Kenaboi, Jelebu.
Tapir yang dilepaskan ke habitat selamat di Kenaboi, Jelebu.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Gemas memindahkan seekor tapir betina yang ditangkap di Ladang Johol ke Taman Alam Liar Kenaboi, Jelebu pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pemeriksaan awal oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan mendapati tapir itu berada dalam keadaan sihat, cuma terdapat parut luka lama pada bahagian lehernya.

"Bagaimanapun, kita telah memeriksa haiwan ini berada dalam keadaan sihat dan perlu kembali ke habitatnya dengan selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Wan Mat berkata, Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan yang pertama dalam negara di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, dalam proses penyediaan tender.

Katanya, projek berkenaan telah mendapat persetujuan kerajaan negeri dan diluluskan oleh kerajaan Pusat pada hujung tahun lepas.

"Kerja-kerja penyediaan tender sedang dilakukan, apabila selesai semuanya projek ini akan segera dilaksanakan.

"Kawasan Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi merupakan kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak projek ini, dan ia akan menjadi pusat perkembangan aktiviti kajian serta penyelidikan spesies tapir serta habitat daripada penyelidik tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan: