X

Kindly register in order to view this article
!

Speaker boleh panggil DUN Perak bersidang: Aziz Bari

Abdul Aziz
A
A

IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari akan mengadakan perbincangan bersama Speaker, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung pembukaan persidangan Dewan Negeri secepat mungkin.

Abdul Aziz berkata, ketika ini tiada masalah untuk Yang Dipertua Dewan memanggil sidang DUN kerana perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu pada Rabu lepas.

"Raja-Raja Melayu telahpun memberi lampu hijau dan selaku Ketua Pembangkang DUN, saya bertanggungjawab membawa perkara ini agar Dewan Negeri dapat bersidang semula.

"Di Perak, saya fikir sepatutnya tidak ada masalah lagi untuk diadakan segera. Kita ada banyak hal nak bincang dan saya rasa kemungkinan besar beliau (Speaker) pun ada perkara yang mahu diperjelaskan dan disebut dalam dewan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, pihaknya telahpun menghubungi pejabat Speaker dan sedang menunggu maklum balas bagi perbincangan itu secepatnya minggu hadapan.

Menurutnya, persidangan DUN Perak sepatutnya diadakan selewat-lewatnya bulan ini selepas persidangan terakhir pada Disember lalu.

"Jika ikut perundangannya memang salah (jika terus ditangguh), tetapi perkara ini terkait dengan situasi yang tidak dapat dielak kerana berlakunya masalah Covid-19.

"Oleh kerana keadaan sekarang telah ada persetujuan di peringkat lebih tinggi, maka eloklah disegerakan, keputusan sepatutnya positif untuk negeri-negeri bersidang sepertimana di Parlimen," katanya.

Kali terakhir Persidangan Dewan Negeri berlangsung pada Disember lalu bagi pembentangan Belanjawan 2021 negeri Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

ARTIKEL BERKAITAN: DUN Perak dapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!