Maritim tahan kapal berlabuh tanpa kebenaran

Maritim Selangor menahan sebuah kapal tangki dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 28 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Sabtu.
Maritim Selangor menahan sebuah kapal tangki dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 28 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Sabtu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan sebuah kapal tangki dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 28 batu nautika barat daya Kuala Selangor petang Sabtu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal tersebut ditahan ketika bot ronda Maritim sedang melaksanakan operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Benteng Laut di perairan negeri Selangor.

Beliau memberitahu, pemeriksaan mendapati kapal dalam perjalanan dari India ke Melaka itu mempunyai 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 28 hingga 63 tahun membabitkan warga Indonesia, Korea, China dan Myanmar.

"Kita menerima maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) serta Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal di luar batas Pelabuhan Klang tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tetapi pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mohd Rosli turut memaklumkan, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah beliau, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan negeri Selangor.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan perlu mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," katanya.