Nasib warga emas tinggal di surau lama dapat perhatian

Arul (tengah) melawat Sulaiman di surau lama, pada Sabtu.
Arul (tengah) melawat Sulaiman di surau lama, pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Nasib seorang warga emas, Sulaiman Che Soh, 72, yang hidup seorang diri di sebuah surau lama di Kampung Stesen, Nilai sejak dua tahun lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Terkini, Skuad Gerak Khas (SGK) Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), menziarahi warga emas itu malam Sabtu untuk melihat keperluannya.

Ketua SGK MAINS, Mohd Zahid Mohammad melalui Facebook majlis agama itu berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan makanan asas untuk keperluan Sulaiman.

Menurutnya hasil perbualan mereka, Sulaiman yang berasal dari Kelantan memilih untuk tinggal sendiri dan selesa berada di situ atas kebenaran pemilik tanah.

"Kita akan sentiasa membantu serta melihat keperluan lain secara berterusan pada masa akan datang selain memberi bantuan secara bulanan.

Skuad Gerak Khas MAINS semasa menyantuni Sulaiman malam Sabtu.
Skuad Gerak Khas MAINS semasa menyantuni Sulaiman malam Sabtu.

"Bagi keperluan elektrik pula, kami difahamkan akan ada sebuah syarikat melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ingin menyumbangkan lampu bertenaga solar bagi memudahkan urusan kehidupan Sulaiman pada sebelah malam," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas tinggal dalam surau lama

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J Arul Kumar turut menyantuni warga emas berkenaan bagi memastikan dia berada dalam keadaan baik.

Katanya, Sulaiman tidak mahu berpindah kerana sudah selesa tinggal di tempat tersebut walaupun tidak sempurna.

"Saya juga berjanji akan membantu beliau mendapatkan bantuan kebajikan bulanan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menampung perbelanjaan setiap hari.

"Kawasan surau lama itu adalah hak milik individu. Mereka bersetuju Sulaiman tinggal di sini. Jika ada sebarang masalah pada masa hadapan kami akan pastikan dia berada di tempat yang baik," katanya.