X

Kindly register in order to view this article
!

Trio recurve lelaki negara gagal ke Olimpik Tokyo

Skuad memanah lelaki negara gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan. - Foto FB Word Archery
A
A

KUALA LUMPUR - Impian skuad memanah lelaki negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, musnah selepas terkandas di peringkat suku akhir acara recurve berpasukan lelaki kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, pada Sabtu.

Trio negara diketuai Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tewas 6-2 kepada pasukan Ukraine yang dibarisi Oleksii Hunbin, Heorhiy Ivanytskyy, Ivan Kozhokar, berdasarkan keputusan di laman worldarchery.sport.

Hanya tiga slot menjadi rebutan bagi kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Setakat ini, sembilan pasukan layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia iaitu Australia, China, Taiwan, Great Britain, India, Jepun, Kazakhstan, Korea Selatan dan Belanda.

Bagaimanapun, pasukan recurve wanita negara masih memiliki peluang untuk menebus kekecewaan skuad lelaki apabila bakal beraksi pada Ahad.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!