‘Jangan syok sendiri, kuasa hanya diuji apabila seseorang diberi kuasa’

Abdul Latiff Ahmad
Abdul Latiff Ahmad
A
A
A

[WAWANCARA] PELANTIKAN beberapa individu yang sama sebagai anggota lembaga pengarah beberapa anak syarikat dan subsidiari Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) telah menimbulkan tanda tanya dan persoalan.

Dalam hubungan ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menjelaskan mengapa pelantikan tersebut tidak disenangi dan kenapa ia dilakukan oleh Mara.

“Tidak ada menteri yang jaga Mara yang tidak dikritik. Sejak saya dilantik sebagai menteri yang kawal selia Mara saya tunggu saat ini tiba.

“Tetapi saya tidak boleh memberi jaminan mereka yang kita lantik ini akan berjaya. Kenapa? Kerana jika nak tengok seseorang itu ada integriti atau tidak, nak mengetahui dia hebat atau tidak, uji dulu dengan kuasa.

“Bagi dia kuasa baru kita tengok apa dia akan buat dengan kuasa itu. Tetapi barang diingat, kuasa dalam lembaga pengarah adalah kuasa yang kolektif. Kita ada sasaran dan mereka (ahli lembaga) perlu buktikannya,” tegas beliau.

Ikuti Wawancara Sinar Ahad bersama Dr Abd Latiff yang diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman; Timbalan Pengarang Berita, Junhairi Alyasa; serta wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Nazrin Zulkafli di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Boleh Datuk terangkan tentang kontroversi pelantikan dua individu iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin sebagai ahli lembaga pengarah dalam beberapa anak syarikat Mara Corp?

DR ABDUL LATIF: Sebenarnya bukan dua orang ini sahaja. Jika anda lihat carta, Mara Corp ditubuh pada tahun 2016 namun tidak banyak perubahan. Apabila Perikatan Nasional (PN) masuk, kita melihat semula peranan Mara Corp sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Apabila menjadi syarikat pegangan pelaburan, Mara Corp mesti mempunyai kumpulan-kumpulan anak syarikat yang berada di bawahnya. Disebabkan itu, Majlis Mara dan menterinya telah bersetuju supaya anak-anak syarikat yang semuanya dahulu di bawah Mara diletakkan di bawah Mara Corp.

Usaha ini ada fasa satu dan fasa dua. Fasa satu melibatkan lapan syarikat antaranya Pelaburan Mara Bhd (PMB). Fasa kedua pula melibatkan tujuh syarikat, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Di bawah PMB sahaja ada empat syarikat aktif. Syarikat yang aktif maknanya syarikat yang beroperasi.

Syarikat lain yang agak besar ialah Rural Capital Berhad dan Mara Incorporated Sdn Bhd. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan dan pengurusan hartanah serta memiliki hotel di Kuala Lumpur iaitu Primiera Hotel. Semua syarikat ini ada yang bagus diurus dan ada yang tidak begitu bagus.

Sewaktu Datuk Ibrahim Ahmad menjadi Ketua Pengarah Mara, beliau menubuhkan syarikat-syarikat ini supaya Mara terlibat dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pembangunan sumber manusia. Empat perkara ini tidak boleh lari. Apabila kita bawa semua anak syarikat ini di bawah Mara Corp, Mara Corp perlulah kuat.

Disebabkan itu, dalam Mara Corp terdapat 11 orang lembaga pengarah. Empat orang daripada pengawalseliaan antaranya Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Ketua Pengarah (KP) Mara dan wakil Kementerian Kewangan (MoF).

Pengerusi Mara Corp, saya kenal sejak 21 tahun dahulu apabila beliau menjadi KSU saya dan pernah menjadi Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad iaitu Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir. Beliau menjadi pengerusi tapi beliau pengerusi bukan eksekutif. Keputusan dibuat Mara Corp adalah keputusan eksekutif.

Dibawa kepada Majlis Mara dan selepas setuju kemudian dibawa kepada saya sebagai menteri, ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak bersetuju. Saya membuat keputusan sentiasa dalam kerangka Akta Mara 1966.

Abdul Latiff ketika diwawancara Sinar Ahad di Putrajaya.
Abdul Latiff ketika diwawancara Sinar Ahad di Putrajaya.

Ada dakwaan yang mengatakan dua individu dilantik memegang banyak jawatan dalam beberapa anak syarikat Mara Corp ini rapat dengan Datuk?

Orang yang dikatakan rapat sebenarnya semua itu memang rapat. Mustahil menteri melantik orang yang dia langsung tidak kenal atau menteri akan melantik orang yang dia tidak kenal tetapi orang yang diperkenalkan itu akan kenalkan dan memberitahu bahawa individu ini bagus. Kalau ada yang mengatakan dua orang ini, saya ingat orang yang bercakap itu gerun dengan mereka ini.

Kenapa? Saya tahu cerita dia. Saya tidak mahu beritahu anda kenapa dua orang ini diperkatakan walhal contohnya dalam syarikat Rural Capital dan orang lain yang duduk dalam (syarikat) ini. Saya tidak sempat nak kira (dua orang ini duduk dalam) enam atau tujuh (anak syarikat) tetapi yang lain itu sama sahaja.

Dan mereka semua ini tidak dibayar walaupun duduk dalam lembaga pengarah. Kalau ada orang yang mengatakan mereka ini mahu mengumpul elaun, itu tidak betul disebabkan duduk di dalam Mara Corp ini hanya dapat RM2,500 sebulan sahaja dan ia tidak berbaloi kalau kena ‘balun’. Mereka berada di sana (sebagai ahli lembaga pengarah) kerana mencintai ummah.

Kita sedar perkara-perkara yang rapat dengan orang Melayu iaitu klien kita, saya ingat Melayu dan bumiputera tidak ada yang tidak tersentuh oleh Mara sejak kewujudannya. Yang kata takut dengan dua orang ini sebenarnya saya rasa mereka takut dengan bayang-bayang mereka. Sama ada mereka takut dengan perubahan atau perubahan pengurusan.

Dahulu di bawah Mara, sekarang di bawah Mara Corp. Jadi, orang-orang daripada Mara Corp mesti mahu mengetahui apa yang terjadi dalam syarikat, apa yang terjadi dalam Rural Capital.

Saya bagi contoh, Rural Capital kita mempunyai lesen untuk mengutip hutang. Kita memberi pinjaman kepada pelajar. Semasa pra-Covid-19, mereka sangat efisien dan mengutip RM800 juta setahun. Kalau mereka tidak efisien, kita tidak boleh pusing (modal). Pada 2020, KP Mara memberitahu saya bahawa kutipan kita kurang. Sekarang kita mengutip RM544 juta, kebetulan pelajar kita tidak ramai yang kita mahu hantar ke luar negara kerana semua ditutup.

Tetapi demi kebaikan ummah, mesti diteruskan. Sebab itu, ia perlu diurus dengan baik. Apabila syarikat induk dipertanggungjawabkan oleh induknya iaitu Majlis Mara tadi, maka tugas ini amat berat dan mereka perlu tahu apa yang terjadi dalam lembaga pengarah anak-anak syarikat.

Terdapat ramai lagi calon yang terdiri daripada orang Melayu yang berkelayakan. Boleh Datuk jelaskan mengapa hanya dua individu ini yang diberikan peluang yang begitu besar?

Saya ingin menerangkan di sini kita pernah menggunakan perkhidmatan agensi pencari bakat untuk mengenal pasti dan memilih individu terbaik dan berkelayakan. Bagaimanapun, akibat faktor tertentu yang tidak dapat saya terangkan di sini, individu tersebut telah kita tamatkan perkhidmatannya. Kita belajar bahawa walaupun proses yang dilaksanakan bagi mengenal pasti individu yang berkelayakan dilakukan secara telus tetapi adakalanya ia masih tidak menepati kehendak kita.

Oleh itu, kita mengambil keputusan melantik mereka yang telah pun berada dalam Mara Corp. yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti. Maka dari situlah munculnya nama Datuk Suhaili dan beberapa individu lain yang didakwa dilantik atas kapasiti politik.

Bagaimana Datuk melihat pelantikan dua individu ini dapat membantu anak-anak syarikat Mara Corp?

Bukan dua individu sahaja, tidak betul. Anda tengok semula. Enam orang dalam pelbagai syarikat, bukan dua orang. Saya nak betulkan. Sudah tentu, anda kena tahu dalam carta Mara Corp, Suhaili adalah pengarah eksekutif yang dilantik mengikut keperluan. Jawatan itu diwujudkan kerana kita tidak melantik ketua pegawai eksekutif kumpulan. Apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mara Corp tiada, maka perlu ada lantikan. Kalau kita nak lantik, kita perlu bayar lebih banyak lagi.

Jadi, memadai kita melantik pengarah eksekutif, tetapi pengarah eksekutif dibantu oleh pemangku ketua pegawai eksekutif. Kalau ada kehadiran Suhaili dalam mana-mana anak syarikat Mara Corp, itu menandakan bahawa syarikat itu perlu dipastikan operasi dan prestasi syarikat dilihat secara ‘mikroskop’.

Tetapi apabila telah selesai proses transformasi nanti, terpulang kepada lembaga dalam Mara Corp untuk menarik semula orang-orang ini atau tidak. Kita meletakkan mereka di dalam lembaga anak syarikat bukan hanya dua orang ini tetapi enam orang secara bergilir-gilir bergantung kepada kepentingan dan fungsi anak-anak syarikat. Seperti Mara Liner. Siapa duduk dalam Mara Liner? Ada nama Suhaili? Tiada.

Abdul Latiff Ahmad
Abdul Latiff Ahmad

Persoalannya, kenapa Suhaili dan Megat Shahriman perlu diletakkan di UniKL misalnya?

UniKL ini sejak ditubuhkan keuntungannya sangat kurang. Itu pun diletakkan geran daripada kerajaan melalui Mara dalam laporan kewangan di bawah seksyen keuntungan sebelum cukai. Kalau tidak, rugi. Jadi saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak, sudah 19 tahun.

UniKL ini universiti swasta, kalau universiti swasta, puratanya katakanlah universiti swasta yang diurus oleh orang Melayu seperti Management & Science University (MSU) keuntungan mereka sebanyak 30 peratus, City University juga 30 peratus, Taylors University, dan Limkokwing University of Creative Technology, saya ingat 40 peratus keuntungan.Kenapa yang diurus oleh Mara kurang daripada dua peratus. Saya sebagai menteri takkan saya mahu tengok sahaja untuk diteruskan perkara yang sama? Takkan saya mahu buat macam itu.

Saya rasa pendapatan (UniKL) pra-Covid-19 adalah sekitar RM300 hingga RM400 juta setahun. Jadi, apa masalahnya itu? Kena betulkan. Bila anda mahu betulkan, adalah orang yang takut. Kita bukan mahu cari salah orang. Kita bukan mahu menghantar orang ke penjara kecuali mereka mencabar kita. Mereka yang dilantik ini pun bukan pengerusi. Mereka hanya dalam lembaga pengarah. Mereka mahu bantu UniKL.

Adakah Datuk yakin individu-individu yang dikatakan berpengalaman ini berjaya membantu anak-anak syarikat Mara Corp?

Belum lagi. Baru mula. Kalau sudah lama bermula, bolehlah ‘tembak’. Ini belum mula lagi, apa maksudnya? Siapa yang bangkang? Adakah orang di dalam UniKL yang takut dengan perubahan yang mungkin berlaku? Itu saya tidak boleh jawab. Sedangkan dalam anak-anak syarikat yang lain seperti PMB sudah lima tahun rugi. Saya tidak tahu sangat tentang pelaburan. Tetapi tahun lepas, dalam suasana Covid-19 boleh untung RM10 juta.

Saya telah meletakkan Datuk Azrul Nizam Aziz yang memang mahu berkhidmat untuk negara sebagai pengerusi bukan eksekutif dibantu oleh pemangku ketua pegawai eksekutif, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. Mereka telah melakukan tugas dengan baik.

Jika anda cakap mereka ini ada hubung kait dengan politik, saya rasa ya. Tapi yang lain itu pun ada hubung kait dengan politik. Saya kenal mereka sebelum saya menjadi ahli politik. Kita tidak buat perkara baharu, cuma nak diurus cara baharu.

Adakah pelantikan ini bertentangan dengan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) mengenai komposisi pelantikan ahli-ahli pengarah syarikat?

Walaupun Mara Corp masih belum menjadi syarikat berhad, Mara Corp telah menjadikan MGCC sebagai panduan utama dalam pelaksanaan tadbir urusnya. Kita ini syarikat hibrid dan kita mengikut cara Khazanah Nasional Berhad. Kita tidak pernah lari daripada tugas-tugas pusat dan agensi penetapan. Mara Corp itu masih lagi di bawah akta syarikat yang perlu dipenuhi.

Pihak yang menimbulkan isu ini bimbang dengan isu integriti. Bagaimana Datuk boleh memberi jaminan supaya pihak yang dilantik sebagai lembaga pengarah ini berintegriti tinggi?

Anda bercakap mengenai integriti. Dalam surah al-Qasas, ada menyebut tentang ‘qawiyyul amin’, qawiy maksudnya kuat, amin itu amanah. Dia tidak kata ‘aminul qawiy’, amanah dulu kemudian kuat. Kuat mempunyai tafsiran macam-macam. Ada ilmu, ada kebijaksanaan, ada pengalaman, ada pendedahan kemudian disambung dengan amanah. Amanah ini kita menghasilkan satu sistem. Jadi apabila kita mewujudkan semua sistem, Insya-ALLAH. Tetapi saya tidak boleh memberi jaminan, kenapa?

Apabila seseorang itu dilihat berintegriti, nak mengetahui dia hebat atau tidak, uji dulu dengan kuasa. Kuasa ini sangat bahaya. Anda tidak mempunyai kuasa anda senang cakap seperti saya boleh buat itu, ini dan macam-macam. Bagi dia kuasa. Kuasa dalam lembaga pengarah itu kuasa yang kolektif. Kita ada sasaran dan mereka perlu buktikannya. Orang datang dan pergi. Ahli lembaga pengarah tidak akan ada selama-lamanya. Menteri pun ada jangka hayatnya. Mungkin selepas ini saya tidak ada dah. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) katakanlah saya tidak bertanding atau digugurkan, habislah.

Tetapi organisasi seperti Mara, Mara Corp, anak-anak syarikatnya seperti UniKL kena berterusan. Kita perlu pastikan sistem itu berjalan. Sistem ini berjalan bila ada sasaran. Kerana jika ada untung, ia akan memberi semula kepada ‘bapanya’.

Sekarang ini kalau UniKL untung, beri semula kepada Mara dan Mara mendapat pendapatan serta membiayai semua pelajar dan membiayai usahawan.

Mara ini seharusnya saling bergantungan dengan kerajaan. Ia tidak boleh ‘totally independent’ kerana sebahagian daripada perkara yang kita buat di Mara adalah bersifat sosiopolitik. Ia mempunyai agenda sosiopolitik. Saya boleh pilih untuk meneruskan perkara yang sama. Tidak payah kacau apa-apa dan teruskan perkara yang sama. Tetapi adakah saya buat perkara yang betul? Tidak ada menteri yang menjaga Mara tidak ada yang dikomen dan dikiritik. Kalau dikomen dan dikritik itu adalah normal. Kalau dipuji dan tidak dikritik, itu diluar tabii (ketawa).

Saya sebenarnya tunggu berapa lama boleh bertahan di kementerian yang menjaga Mara tidak dikritik. Akhirnya orang mengkritik. Bagus. Ini bermaksud saya membuat perkara yang betul. Jika orang tidak mengkritik, kita syok sendiri.

Mara ini kalau boleh bahagian perniagaannya diisi daripada Mara. Sekali sekala kita ambil bakat daripada luar tetapi lebih baik kita mengambil bakat daripada dalam kerana mereka memahami sistem nilai dalam Mara ini.


ANEKDOT


Rancangan masa depan Mara

KITA juga mempunyai ramai bakat. Jurutera sahaja ada beberapa orang, doktor falsafah ada beberapa orang. Cuma mereka ini mungkin ada kepakaran dalam sesuatu, tetapi hal lain tidak pakar. Jadi dia perlukan orang lain untuk naik bersama. Sebenarnya tidak banyak organisasi seperti ini yang boleh datang dan pergi.

Katalah Khazanah dan mempunyai anak syarikat di bawahnya seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia. Kita tidak berhajat seperti itu tetapi mungkin satu hari nanti Mara Corp menjadi institusi yang besar dan boleh mengurus perkara yang sangat dekat dengan orang Melayu. Contohnya, kita telah ada organisasi seperti bank. Tetapi Mara tidak mempunyai bank dan adakah boleh Mara mempunyai bank?

Ada orang tekan supaya adakan bank digital. Adakah boleh Mara menjadi ‘anchor’? Kita terfikir juga dan saya serahkan idea mereka yang berada dalam Mara atau Mara Corp. Tetapi PMB, dia ada pelaburan dalam bentuk unit amanah, dia juga mengurus harta, ada pengurusan dan kemudahan aset, boleh beri pinjaman kerana mempunyai PMB Tijhari dan Rural Capital pula boleh mengutip hutang seperti.

Apa yang tiada? ‘Payment Gateway’ kita tidak ada, kita tidak ada digital wallet, tetapi ini semua kita boleh buat.

Dengan apa yang kita lakukan ini, saya melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dia amat percaya kepada ahli-ahli majlis dan kredibiliti Mara Corp itu sendiri. Dia tidak campur tangan.