Pastikan semua pelajar divaksin

Kerajaan perlu memperhalusi langkah-langkah yang wajar bagi membolehkan semua pelajar sekolah dapat menerima vaksin tanpa sebarang isu. Gambar kecil: Dr Malina
Kerajaan perlu memperhalusi langkah-langkah yang wajar bagi membolehkan semua pelajar sekolah dapat menerima vaksin tanpa sebarang isu. Gambar kecil: Dr Malina
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperhalusi langkah-langkah yang wajar bagi membolehkan semua pelajar sekolah dapat menerima vaksin tanpa sebarang isu termasuk kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pemberian vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan merupakan satu perkembangan positif dan wajar diperluaskan kepada pelajar lain.

Menurutnya, daripada sudut kesihatan awam beliau amat menyokong sekiranya kerajaan dapat mewajibkan pemberian vaksin kepada pelajar.

“Satu ketika dahulu hanya kanak-kanak yang sudah mendapat suntikan vaksin bagi penyakit cacar air dibenarkan mendaftar sekolah.

“Jadi, saya fikir polisi yang sama boleh dilakukan untuk vaksin Covid-19 ini kerana virus ini boleh mengakibatkan kematian. Kita sudah melihat impaknya jika ramai yang dijangkiti,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah beliau, pertimbangan yang sewajarnya mampu melindungi anak-anak daripada jangkitan dan mengelakkan mereka menjadi punca keluarga dijangkiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM, STPM dijangka terima vaksin pada Julai

Katanya, pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 juga dilihat lebih mudah kerana boleh dilakukan secara mobil dan berpusat di sekolah sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan bergerak boleh ke sekolah. Berikan sahaja suntikan vaksin kepada semua yang ada. Ia akan mempercepatkan lagi imuniti kelompok. Bagaimanapun ia juga bergantung kepada bekalan,” katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tegas beliau, tidak ada seorang pun yang sepatutnya terkecuali untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana fokus ketika ini memberikan vaksin kepada seramai mungkin penerima.

Pada Jumaat, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semua pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada bulan depan.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Khamis memaklumkan cadangan pelajar yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksinasi telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).