Isu naturalisasi: Moga jadi pengajaran kepada FAM

De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang gagal memberi impak kepada barisan depan Harimau Malaya. Gambar kecil: Sathianathan
De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang gagal memberi impak kepada barisan depan Harimau Malaya. Gambar kecil: Sathianathan
A
A
A

KEGAGALAN pemain naturalisasi seperti Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi untuk menyerlah dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini perlu dijadikan iktibar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, pemilihan dan penilaian lebih ketat perlu dilakukan dalam usaha memastikan pemain yang akan dinaturalisasikan sesuai untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Bagaimana handalnya orang yang buat analisa pemain, belum tentu dia betul tentang sama ada pemain itu boleh bermain atau tidak di peringkat antarabangsa. Jadi adakah program naturalisasi dan pemilihan ini salah?

“Lagipun, kita tidak dapat menguji pemain baharu seperti Liridon dan De Paula sebelum perlawanan kelayakan itu kerana kita tidak ada waktu yang cukup. Dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain itu juga sudah masuk dalam fasa akhir persiapan dan kita tidak boleh menukar senarai 25 pemain yang sudah terbang ke UAE itu.

“Jadi, selepas ini mungkin kita boleh berhati-hati termasuk menilai mereka dahulu dalam perlawanan persahabatan sebelum memilih mereka sebagai pemain naturalisasi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kegagalan De Paula dan Liridon beraksi dengan baik dalam aksi kelayakan itu mengundang kemarahan terutama komuniti bola sepak negara yang menyifatkan kedua-duanya tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya.

Malah, peminat juga mahukan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe direhatkan daripada jawatan tersebut selepas menyifatkan pemilihan pemain untuk dibawa ke UAE oleh bekas pengendali Kedah itu sebagai satu kesilapan.

Mengulas lanjut, Sathianathan menyifatkan bukan waktu sesuai untuk saling menuding jari sebaliknya perlu menyerahkan kepada FAM untuk mencari masalah sebenar kepada persembahan kurang memuaskan skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai orang salahkan coach Tan minta dia ditukar, salahkan pemain naturalisasi dan pemain lain selepas kita tidak dapat keputusan yang tidak baik dalam aksi kelayakan itu.

“Perlu diingat, mungkin kita tidak dapat layak secara automatik ke Piala Asia, masih ada pencapaian dengan kita masih mampu bersaing dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia tanpa perlu mengharungi aksi play-off.

“Ini bukan masa nak tuding jari. Mereka sudah tentu akan melakukan bedah siasat mencari apa sebenarnya yang berlaku kepada pasukan negara. Mereka mempunyai jawatankuasa untuk menilai dan lebih pakar berbanding kita ini yang hanya menyaksikan perlawanan di televisyen tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sebelum perlawanan dan suasana di kem latihan.

“Saya percaya semua ini akan diambil kira sebelum keputusan dibuat untuk menyiapkan pasukan yang lebih baik menjelang kelayakan pusingan ketiga nanti,” katanya.