X

Kindly register in order to view this article
!

Rombakan besar ekonomi

A
A

BIASALAH bagi mana-mana kerajaan pun cuba sedaya upaya menguar-uarkan berita baik yang sedikit mengenai ekonomi dalam percubaan menenggelamkan berita buruk yang datang bertimpa-timpa.

Itulah hakikat ekonomi dunia sejak meletus perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China pada 2018 yang ditambah buruk pula oleh wabak besar Covid-19 mulai 2019.

Oleh sebab AS dan China adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia serta menjadi rakan perdagangan kita yang penting, apa saja yang berlaku kepada dua negara raksasa itu akan mempengaruhi ekonomi kita.

Kita masih bergelut dengan penularan Covid-19, manakala China telah berjaya mengawalnya dengan mencatat kes baharu kurang daripada 100 kes sehari, manakala kes baharu di AS telah turun daripada kemuncak 251,920 kes sehari pada 9 Januari lalu kepada 26,037 kes pada 11 Jun.

Dalam keadaan di mana berita buruk mengatasi berita baik berkali ganda, tidak hairanlah jika kerajaan Malaysia cuba menggembirakan rakyat dengan beberapa cebis berita baik, antaranya laporan mengatakan Pelaburan Terus Asing (FDI) pulih pada suku pertama tahun ini (Januari-Mac) dengan mencatat jumlah RM9.1 bilion. Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, jumlah itu yang tertinggi sejak krisis Covid-19.

Namun, berita itu tidaklah sebaik mana kerana tahun lalu kemasukan FDI jatuh merudum pada kadar 54.8 peratus.

Menurut laporan media yang memetik Mohd Uzir, pengaliran masuk FDI yang bertambah baik itu adalah dalam bentuk modal dan pelaburan saham dalam sektor pengila-ngan serta perkhidmatan.

Jadi, modal asing sebanyak RM9.1 bilion itu tidak semestinya menjana kapasiti baharu ekonomi atau peluang pekerjaan tambahan kerana ia sekadar membeli saham syarikat-syarikat sedia ada.

Keupayaan baharu ekonomi dan penjanaan pekerjaan akan hanya berlaku jika FDI itu digunakan untuk membina kilang dan mewujudkan perkhidmatan baharu atau memperluaskan kapasiti sedia ada.

Bukan itu sahaja, menurut Mohd Uzir, dalam tempoh sama, FDI Malaysia di luar negara naik kepada RM7.8 bilion. Ia bermakna modal bersih yang tercipta hanyalah RM1.3 bilion.

Semua ini kita kena faham, takut kita melompat gembira tetapi sia-sia. Pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap pelaburan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) wajib berusaha lebih gigih menarik pelaburan asing.

Selain Covid-19 dan perang dagang AS-China, kita juga mempunyai masalah tambahan iaitu ketidakstabilan politik.

Pelabur asing, khususnya yang belum biasa melabur di Malaysia atau telah lama melabur, kini bimbang dengan masa depan politik kita dan mungkin membawa modal mereka ke Indonesia, Vietnam serta Thailand.

Kita kena akui bahawa negara-negara berkenaan mempunyai kelebihan berbanding Malaysia. Misalnya Indonesia, politiknya semakin stabil, pasarannya besar dengan 276 juta penduduk dan kos buruhnya murah.

Sejak awal merdeka lagi, pelabur asing memilih Malaysia walaupun bilangan penduduknya tidak ramai kerana kita mempunyai kelebihan dari segi kestabilan politik, kepakaran pengurusan dan teknologi serta penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Namun, sejak satu dua dekad kebelakangan ini, kedudukan kita semakin tercabar kerana kita menjadi sombong, lalai dan kurang motivasi akibat kejayaan masa lampau, sedangkan jiran-jiran kita belajar daripada kita dan berjaya mengejar kita.

Natijahnya, pemulihan dan pembangunan semula negara pasca-Covid memerlukan rombakan besar-besaran terhadap kepemimpinan politik, khususnya proses pewarisan, dasar ekonomi dan menyemarakkan semula semangat rakyat untuk menjadi bangsa yang progresif. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!