Pemandu rentung babitkan nahas tiga lori

Keadaan dua lori yang terbakar di lorong kecemasan Kilometer 372, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi tadi.
Keadaan dua lori yang terbakar di lorong kecemasan Kilometer 372, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi tadi.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu lori maut terbakar dalam satu kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini pagi tadi.

Lebih menyayatkan hati, terdapat rakaman video tular dalam media sosial menunjukkan mangsa yang belum dikenal pasti identiti, berlari sebelum terbaring di tengah lebuhraya dalam keadaan terbakar.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lebih kurang jam 9.05 pagi, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai PLUS Slim River yang memaklumkan terdapat kemalangan maut dan mangsa terbakar di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati berlakunya kemalangan maut melibatkan tiga lori yang mengakibatkan dua daripadanya terbakar.

"Pemandu lori pertama, Mohamad Jurid Bakar berusia 45 tahun yang memandu dari arah selatan menuju ke utara memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah.

"Pemandu lori kedua Kamarul Azwar Abu Bakar berumur 34 tahun turut berhenti di lorong kecemasan untuk membantu pemandu lori pertama. Selesai membantu dia kembali ke kenderaannya untuk meneruskan perjalanan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Anggota bomba sedang giat memadamkan api kebakaran membabitkan dua lori di lorong kecemasan Kilometer 372, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi tadi.
Anggota bomba sedang giat memadamkan api kebakaran membabitkan dua lori di lorong kecemasan Kilometer 372, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sebuah lori tangki muatan minyak diesel dari lorong tengah dilihat menghampiri ke arahnya kemudiannya terlanggar belakang lori kedua, seterusnya menyebabkan lori kedua melanggar belakang lori pertama.

"Lori muatan diesel kemudiannya terbakar dan merebak ke lori kedua, manakala lori pertama pula terselamat kerana berada di hadapan.

"Seorang mangsa dipercayai pemandu lori minyak diesel maut di tempat kejadian setelah terbakar, manakala dua lagi pemandu lori lain berusia 34 dan 45 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Wan Kamarul Azhan berkata, susulan kejadian itu, laluan di semua lorong ditutup bagi memberi laluan kepada pihak bomba untuk memadam kebakaran, sekaligus mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang empat kilometer.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik PLUS akan dimohon bagi membantu siasatan.

"Butiran mangsa maut akan disemak melalui alamat syarikat lori muatan diesel yang diperoleh. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.