Kompleksiti pentadbiran negara

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA bukan sahaja berhadapan pandemik Covid-19, tetapi juga pandemik ketidakstabilan politik menjelang ‘tarikh akhir’ Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (OD2021) pada 1 Ogos 2021.

Pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pemimpin politik minggu lalu menimbulkan pelbagai spekulasi dan percaturan politik baharu. Ini tidak dapat dielakkan kerana pertemuan tersebut berlangsung dalam baginda memanggil persidangan khas Majlis Raja-Raja Melayu selepasnya.

Sehari sebelum persidangan khas Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap Al-Sultan Abdullah mengemukakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh Jun hingga Disember.

PPN sebenarnya lebih merupakan strategi keluar pandemik (exit strategy) kerana ia berfokus kepada tahap-tahap pembukaan semua sektor termasuk ekonomi, politik, pendidikan dan sosial.

Perbezaan PPN kali ini dengan tahun 2020 ialah kerajaan mengumumkan pembukaan atau penutupan sektor ini berdasarkan tanda aras kemampuan fasiliti hospital. Sektor ekonomi lain-lain akan dibuka atau ditutup mengikut jumlah purata kes harian. PPN ini turut mengambil kira vaksinasi yang dijangka mencapai imuniti kelompok pada Disember nanti.

Satu lagi perkara yang menjadi perbincangan hebat ialah pembukaan sidang Parlimen. Suara ahli Parlimen blok pembangkang, sebahagian UMNO dan badan bukan kerajaan (NGO) politik yang mendesak Parlimen dibuka sangat kuat.

Melihat senario ini, Al-Sultan Abdullah pernah bertitah tidak berhasrat menghalang persidangan Parlimen semasa darurat.

Memahami desakan ini juga Perdana Menteri mengumumkan pembukaan Parlimen pada September ini sebagai sebahagian daripada PPN.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pengumuman ini tidak disambut begitu baik oleh Persidangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang membuat kenyataan media agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin. Al-Sultan Abdullah juga mengeluarkan kenyataan media yang sama selepas tamat persidangan tersebut.

Ada dua kenyataan media ini kerana Majlis Raja-Raja Melayu dan Seri Paduka Baginda adalah dua institusi berlainan. Ketika Majlis Raja-Raja Melayu menasihati agar darurat tidak disambung sebaik tamat pada 1 Ogos 2021 nanti, Al-Sultan Abdullah tidak menyebut apa-apa maksud sedemikian dalam kenyataan media baginda.

Adalah perlu difahami yang berkuasa dalam pentadbiran persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah Seri Paduka Baginda. Majlis Raja-Raja Melayu seperti juga pihak lain yang ditemui baginda telah memberi pandangan.

Seperti pihak lain, Majlis Raja-Raja Melayu memutuskan untuk mengeluarkan pandangan kepada umum sebagai rekod agar rakyat mengetahui pandangan mereka terhadap situasi hari ini.

Dalam konsep Raja Berperlembagaan, Seri Paduka Baginda hanya boleh bertindak atas nasihat Perdana Menteri kecuali dalam beberapa hal seperti pelantikan Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen ketika Perdana Menteri telah hilang sokongan.

Dalam hal lain, bergantung kepada peruntukan Perlembagaan, Seri Paduka Baginda hanya mempunyai kuasa memperkenan atau tidak permintaan dan nasihat daripada kerajaan kerana baginda tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Malahan ordinan-ordinan darurat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda mestilah datang dari pihak eksekutif, bukannya pihak ketiga yang lain.

Malahan OD2021 Januari lalu telah memberi kuasa kepada eksekutif untuk terus menjalankan tugas mereka.

Menurut Fasal 11, OD2021, kuasa eksekutif dan perundangan, bagi tempoh darurat berkuat kuasa- (a) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan mana-mana orang yang telah diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang hendaklah terus menjalankan fungsi itu.

Jika dibaca OD2021 ia hanya mencatatkan tarikh kuat kuasa pada 11 Januari 2021 tanpa tarikh tamat. Tarikh akhir 1 Ogos 2021 hanyalah dalam titah perkenan Al-Sultan Abdullah bukannya dalam OD2021 itu sendiri.

Ini satu persoalan perundangan yang sangat menarik. Apakah ini OD2021 akan terus berkuatkuasa selagi belum dimansuhkan melalui sidang Parlimen atau melalui satu lagi proklamasi ordinan baharu? Atau titah perkenan Al-Sultan Abdullah dianggap sebahagian undang-undang dalam penguatkuasaan darurat ini?

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)