X

Kindly register in order to view this article
!

Sastera bandingan merentas budaya

Sastera bandingan dapat memberikan cerminan terhadap pencapaian tradisi sastera sesebuah negara.
A
A
SASTERA bandingan telah banyak mengubah wajah sastera dunia pada zaman pascamoden ini. Semuanya menjadi dekat, penemuan baharu berlaku dengan cepat. Justeru sastera bandingan memiliki tenaga luar biasa. Di Barat, mereka berlumba-lumba membuat kajian dan penyelidikan. Tidak sekadar untuk perkenalan dan persefahaman dalam kalangan keluarga benua sastera; bahkan untuk membandingkan siapakah yang terlebih dahulu mencipta kejayaan.

Kini, kajian paling popular ialah wacana silang budaya. Steven Totosy de Zepentnek (2013), menyatakan pendekatan budaya lebih sesuai, kerana ia membuka seluas-luasnya peluang menurut kudrat alamiah masing-masing, untuk menjana penemuan baharu dalam berkarya. Dalam kalangan negara-negara Komanwel juga, pendekatan lintas budaya digunakan dengan meluasnya. Menurut Alamgir Hashmi (2014), kajian sastera bandingan dalam kalangan bekas jajahan British, terutama sastera di Asia, bergerak pantas sesuai dengan zaman global.

Sastera bandingan merupakan sebuah disiplin ilmu dalam epistemologi sastera. Muncul selepas adanya hubungan antara bangsa, dan manusia mula berkenalan antara satu dengan yang lainnya. Ia melibatkan kajian teks yang merentasi budaya, ruang dan zaman.

Hasil kajiannya, dapat memperihalkan dan memberikan cerminan terhadap pencapaian sesebuah tradisi sastera. Lahir kesedaran bahawa sastera tidak bersifat tunggal, tetapi plural, dan semua tradisi sastera memiliki sifat persamaan dan perbezaannya. Kecenderungan terhadap disiplin ini, implikasi daripada keinginan untuk memahami dunia kesusasteraan pada perspektif yang lebih meluas dan tuntas.

Tergabung dalam dirinya, mencakupi empat daerah ruang lingkup penelitian, iaitu kajian teks sastera, sejarah sastera, teori sastera dan kritikan sastera. Pola kajian selain silang budaya, ialah analisis yang sudah konvensional iaitu tematik dan generik.

Ruang lingkup pertama, kajian teks tumpuan terhadap dua orang pengarang atau dua golongan pengarang. Kedua, membandingkan aspek pensejarahan, secara retrospektif pertumbuhan, perkembangan dan perubahannya. Ketiga, meneliti persamaan dan perbezaan dalam penciptaan dan pengapliksian teori. Keempat, mengkaji bidang kritikan yang mencakup aspek penciptaan, penjabaran, kekuatan dan kelemahannya.

Pengaplikasi wajib menguasai teks-teks karya sastera, diikuti dengan pengetahuan sejarah dan tradisi sastera.

Tegasnya, seseorang komparatis mestilah menguasai kesusasteraannya sendiri. Akar umbi dan kefahamannya terhadap kesusasteraannya perlulah kukuh. Kemudian mula bergerak mempelajari dan memahami tradisi sastera negara lain, yang ingin dibandingkannya.

Jelas Susan Bassnett dalam Comparative Literature: A Critical Introduction (1993), 1960-an sastera bandingan mengabadikan sebagai jalur persefahaman, 1970-an sastera bandingan turut menginstitusikan kebangkitan teori sastera dan falsafah kesusasteraan; 1980-an sastera bandingan berjasa dalam melegitimasikan sastera pascamodenisme.

Kesan daripada semua gerakan sastera bandingan itu melonjakkan kecemerlangan. Setiap gerakannya di Eropah, terutamanya Perancis, England dan Jerman berlawan-lawan mengemukakan dapatan-dapatan baharu, dalam penciptaan teks sastera dan aliran kritikan. Sesungguhnya sastera bandingan, berjasa besar dalam mencorakkan penulisan teks kreatif, memeriahkan penciptaan teori sastera, dan memperoleh metode baru dalam kritikan.

Pada peringkat awal, komparatis melakukan bandingan dalaman atau pada peringkat nasional. Contohnya, puisi Zam Ismail dengan Rejab F.I. secara tematik dengan meneliti aspek penstrukturannya, dan drama Noordin Hassan dengan Anwar Ridhwan secara generik menganalisis aspek surealisme.

Dari situ, pengaplikasi bergerak menyeberangi sempadan, misalnya berhadapan dengan sastera Indonesia. Contohnya, pengarang Faisal Tehrani (Malaysia) dengan Habiburrahman El Shirazy (Indonesia) dengan sebuah kajian silang budaya.

Malaysia menggerakkannya melalui Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM) yang ditubuhkan 1993 dengan ketuanya Kemala. Dewan Bahasa dan Pustaka menyediakan dana untuk penyelidikan dan kajian serta penganjuran persidangan. Banyak esei dan kritikan dihasilkan dalam pelbagai wahana. Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera (SKKB) masih kekal berjalan. Tokoh-tokohnya terdiri daripada Md. Salleh Yaapar, Sahlan Mohd Saman, Kemala dan Sohaimi A. Aziz. Pelbagai tesis sarjana dan kedoktoran juga disiapkan oleh calon-calon kesarjanaan. Saya juga pernah melakukan penyelidikan selama lima tahun tajaan DBP, kemudiannya dibukukan Drama Nusantara Kajian Bandingan Sejarah dan Kritikan (2017).Selain mengetahui persamaan dan perbezaan, sastera bandingan menyedarkan tentang kekuatan dan kelemahan sesebuah tradisi sastera. Falsafah terpentingnya supaya para pengarang berfikiran internasional. Dapat mempelajari kebesaran orang lain untuk dijadikan ibrah dan teladan, implikasinya dapat membina jati diri dan memiliki sekolah pemikiran yang tersendiri.

Bagaimanapun kita perlu sedar, objektif yang tidak pernah diucapkan, melalui sastera bandingan Barat ingin menjajah sastera dunia, terutamanya negara-negara kolonial. Sastera bandingan adalah the silent colonialism. Mereka memakai baju persafahaman antara bangsa, tersembunyi sebuah tirani, motifnya untuk hegemoni dan kekuasaan.

Kata Mario Jel Vardis (2004) pengemuka sastera bandingan Amerika Latin, “mereka ingin menguasai kita, tetapi kita berupaya bertahan. Kita mengambil yang terbaik, dan mencipta teks-teks berkeperibadian sendiri, akhirnya mereka pula terpaksa mengiktirafnya.”Di luar segala prasangka, sesungguhnya sastera bandingan menjadi wadah, untuk kita berkenalan dan memahami situasi sastera dunia. Kita harus menggerakkannya secara positif, kerana ia dapat mempertingkatkan penulisan karya, dan mengidentifikasi kedudukan dan memetakan letaknya sastera kita dalam kalangan negara sahabat dan alam sarwajagat seluruhnya.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!