Qabil Ambak terlepas peluang ke Tokyo

Qabil Ambak
Qabil Ambak
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Impian jaguh ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tidak kesampaian, selepas beliau menamatkan saingan di bawah markah kelayakan pada acara Dressage Antarabangsa CDI di Le Mans, Perancis pada Jumaat lepas.

Penunggang berusia 41 tahun itu memungut markah 64 peratus, kurang dua peratus untuk mencipta sejarah selaku atlet pertama ekuestrian negara menyertai temasya sukan antarabangsa itu.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 66 peratus di Le Mans untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia Syed Omar Syed Abu Bakar AlMohdzar yang mengesahkan berita itu memuji usaha Qabil ke Eropah biarpun penunggang itu diberitahu pada saat-saat akhir.

“Kami sudah tentunya sedih dengan berita itu tapi kami tetap bangga dengan pencapaian beliau setakat ini. Saya berharap beliau akan memberikan inspirasi kepada atlet-atlet lain untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Awal bulan ini, Qabil Ambak dinamakan sebagai pengganti dalam acara dressage oleh FEI (Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa) selepas satu daripada dua penunggangnya yang layak ke Olimpik Tokyo menerusi Kumpulan G Kejohanan Kelayakan untuk Zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019 menarik diri baru-baru ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: