Kisona, Jin Wei melangkah ke final

Jin Wei, Kisona
Jin Wei, Kisona
A
A
A

GELARAN juara perseorangan wanita pada Kejohanan Antarabangsa Sepanyol 2021 dalam genggaman Malaysia setelah dua pemain badminton negara, S Kisona dan Goh Jin Wei akan bertarung di perlawanan akhir di La Nucia, Sepanyol pada Sabtu.

Kisona, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina dan pilihan keempat kejohanan menempah tiket ke final selepas menumpaskan pemain Perancis Yaelle Hoyaux, 21-18 dan 21-10 secara straight set dalam tempoh 36 minit menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), https://bwfbadminton.com.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan bekas juara remaja dunia, Jin Wei tidak menghadapi masalah menundukkan rakan senegara Eoon Qi Xuan, 21-17, 21-11 dalam masa 26 minit.

Sementara itu beregu campuran negara Tee Kai Wun -Teoh Mei Xing meneruskan aksi cemerlang mereka untuk menempah slot ke final dengan mengalahkan pasangan Rusia, Rodion Kargaev-Viktoriia Vorobeva, 21-17, 21-16.

Beregu pilihan ketiga Callum Hemming-Jessica Pugh dari England bakal bertemu Kai Wun-Mei Xing di final selepas beregu England itu menumpaskan pasangan Austria, Philip Birker-Katharina Hochmeir, 21-13, 21-11.

Pada masa sama, Kai Wun juga akan beraksi dalam final bagi kategori beregu lelaki.

Kai Wun dan gandingannya Man Wei Chong mencatatkan kemenangan selesa 21-11, 21-11 ke atas Matthew Clare-Ethan Van Leeuwen dari England untuk berhadapan dengan beregu Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar di perlawanan akhir.

Terdahulu, Lucas-Ronan menyingkirkan satu lagi beregu England, Rory Easton-Zach Russ, 21-13, 21-16, dalam perlawanan separuh akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: