Agong ada kuasa autoriti panggil ahli Parlimen bersidang: Rais Yatim

Ciapan Rais Yatim di akaun Twitternya.
Ciapan Rais Yatim di akaun Twitternya.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berpendapat Yang di-​Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mempunyai kuasa autoriti untuk memanggil ahli Parlimen kembali bersidang.

Menurut beliau, berdasarkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Seksyen 14 kurungan 1, kurungan b, memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

"Kuasa ini diturunkan terus kepada Seri Paduka Baginda. Penurunan kuasa selesai," katanya menerusi satu ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ia kemudiannya disusuli dengan kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, yang mengambil maklum terhadap pandangan Seri Paduka Baginda dan berjanji akan bertindak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Artikel Berkaitan: