X

Kindly register in order to view this article
!

Hilang kerja, tiga beranak hidup gelandangan

Lip Eng (kiri) membantu keluarga berkenaan menginap di hotel sementara mendapat penempatan lebih sesuai. Foto: FB Lim Lip Eng.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita sarat mengandung bersama suaminya dikenali, Ramesh dan anaknya berusia tiga tahun hidup sebagai gelandangan di kaki lima sekitar Kepong di sini sejak enam bulan lalu.

Keluarga ini dibantu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang berjaya menjejaki keluarga berkenaan pada Jumaat lalu sebelum menempatkan mereka di sebuah hotel buat sementara waktu.

Lip Eng menerusi kemas kini di Facebooknya menceritakan nasib keluarga berkenaan yang berdepan tekanan hidup susulan kesukaran mendapatkan pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, keluarga berkenaan sebelum ini tinggal di Pulau Pinang dan ketika itu Ramesh bekerja sebagai penghantar gas, namun didakwa hilang kerja disebabkan PKP.

"Oleh kerana PKP, dia hilang kerja. Di Kuala Lumpur juga nasib tidak menyebelahi dia. Disebabkan oleh PKP, dia tidak dapat mencari kerja.

"Isterinya, Kajol (bukan nama sebenar) sedang sarat mengandung. Ramesh tidak boleh berjauhan dengan isterinya buat waktu ini kerana kandungannya sudah berusia lapan bulan.

"Ramesh sering membawa Kajol ke hospital untuk melakukan pemeriksaan bulanannya," menurut perkongsian di Facebooknya pada Sabtu.

Lip Eng (kanan) menghantar keluarga berkenaan di sebuah hotel buat sementara waktu. Foto: FB Lim Lip Eng
Lip Eng (kanan) menghantar keluarga berkenaan di sebuah hotel buat sementara waktu. Foto: FB Lim Lip Eng

Menurut perkongsian itu, Ramesh bergantung hidup dengan bantuan orang sekeliling selain mendapatkan duit dengan mencari barang dikitar semula untuk dijual.

"Ramesh beritahu saya, kadang-kadang mahu gila juga jadinya apabila diletakkan dalam situasi begini. Dia cuma mahu cari tempat yang selesa untuk isteri dan anaknya serta bekerja dan mencari duit.

"Mendengar cerita Ramesh, saya juga risau dengan keselamatan mereka, lebih-lebih lagi Kajol yang sarat mengandung dan mereka membawa anak kecil," katanya.

Katanya, pihaknya menemui sebuah hotel yang beroperasi untuk menempatkan mereka buat sementara waktu.

"Buat masa ini, saya akan cuba mencari kerja kosong untuk Ramesh dan juga tempat bagi mereka tinggal bersama.

"Tak sanggup saya untuk melihat seorang wanita yang sarat mengandung dan anak kecilnya tidur di kaki jalan. Sekiranya terjadi apa-apa nanti, susah jadinya.

"Ramesh memberitahu dia betul-betul mahu bekerja untuk memastikan dia boleh berbakti kepada keluarganya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!