X

Kindly register in order to view this article
!

Ronald ketuai delegasi Malaysia pada FAO ke-42

Ronald ketika mengetuai delegasi ke persidangan FAO ke-42 yang diadakan secara maya di Rome, Itali pada 14 hingga 18 Jun lalu.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengetuai delegasi Malaysia pada Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) ke-42 yang diadakan di Rome, Itali pada 14 hingga 18 Jun lalu.

Ronald berkata, beliau telah menyampaikan kenyataan bertema ‘Agriculture Food Systems Transformation: From Strategy To Action’ yang menekankan kepada agenda jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

Menurutnya, seiring dengan perkembangan teknologi baharu dalam era digitalisasi dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), beliau turut menyentuh mengenai peranan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).

“Ia berkaitan usaha untuk meningkatkan produktiviti, sistem sokongan dan perkhidmatan serta memperkasa rantaian nilai makanan yang secara langsung menyumbang kepada kelestarian sistem makanan.

“Modenisasi sektor agromakanan akan turut dipacu melalui adaptasi mekanisasi dan teknologi dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Delegasi Malaysia turut dianggotai Duta Besar Malaysia ke Itali yang juga merupakan Wakil Tetap Malaysia ke FAO, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino.

Persidangan yang diadakan secara maya itu dimulakan dengan ucaptama daripada Ketua Pengarah FAO, Dr Qu Dongyu, Presiden Itali, Sergio Mattarella dan Pemimpin Gereja Roman Katolik, Pope Francis.

Persidangan berkenaan yang melibatkan Sesi Plenari, Commission I dan Comission II disertai oleh 183 delegasi dari negara ahli melibatkan lebih dari 1,300 delegasi termasuk 119 Menteri dan Timbalan Menteri negara-negara anggota.

Persidangan FAO kali ke-42 itu turut membincangkan FAO Strategic Framework 2022-2031 yang dibangunkan melalui sesi konsultasi bersama negara-negara ahli serta rakan kerjasama FAO.

Kerangka strategi berkenaan turut memberi fokus dalam memperkasa kerjasama dan mencapai impak bagi The Four Betters; Better Production, Better Nutrition, Better Environment dan Better Life yang berhubung kait antara dimensi sistem rantaian makanan iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Dalam pada itu, Ronald berkata, Malaysia menghargai usaha membangunkan kerangka strategik tersebut terutamanya melalui penekanan yang diberikan terhadap kelestarian, inklusiviti, sistem makanan yang mapan serta kepelbagaian tema melibatkan jantina, belia dan kumpulan etnik orang asal dalam mencapai Agenda 2030.

Beliau berkata, di peringkat serantau, delegasi Malaysia mengetengahkan keutamaan memacu transformasi inovasi dan digital dalam penggubalan dasar dan halatuju sektor pertanian.

“Malaysia turut menyarankan FAO untuk mengaplikasi dan memanfaatkan sumber-sumber berkaitan dalam menyokong pelaksanaan projek dan program di bawah Regional Conference for Asia and the Pacific (APRC) yang mampu memberi dimensi dalam memperkasakan lebih banyak negara membangun.

“Ia boleh dilaksanakan melalui kerjasama dalam sektor pertanian dan makanan, terutamanya di dalam bidang teknologi dan inovasi, pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, Ronald berkata, pencapaian utama bagi Persidangan FAO kali ke-42 itu menumpukan kepada cabaran yang dihadapi oleh komuniti dunia pada masa kini.

Menurutnya, ia merangkumi kesan penularan Covid-19, akses kepada diet sihat, kemiskinan dan jurang yang taraf hidup, malah turut melibatkan isu-isu lain seperti malnutrisi serta ketidaktentuan jaminan bekalan makanan.

Pada masa sama, Ronald berkata, Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 kini sedang dimuktamadkan dengan fokus utama untuk memastikan sistem rantaian makanan negara dapat mendepani cabaran sekuriti makanan.

Jelasnya, dasar tersebut turut mengambil kira input serta kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian, agensi, ahli akademik, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!