Program Movak bantu percepat pemberian vaksin

Halimah menyerahkan replika kunci bas mobilisasi vaksin komuniti (MOVAK) kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil (kanan) pada Program MOVAK di Felda Lok Heng, Kota Tinggi hari ini. -Foto Bernama
Halimah menyerahkan replika kunci bas mobilisasi vaksin komuniti (MOVAK) kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil (kanan) pada Program MOVAK di Felda Lok Heng, Kota Tinggi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dapat membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini.

Inisiatif oleh Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama dua bulan itu dilaksanakan selepas mengambil kira faktor penduduk yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 disebabkan kekangan capaian internet dan ketiadaan telefon pintar.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, terdapat tiga unit gerak kerja ditubuhkan di bawah MOVAK merangkumi unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti bagi membantu kelancaran program vaksinasi.

"Unit panggilan akan membuat panggilan pengesahan dan peringatan kepada penerima vaksin yang telah mendaftar berkenaan tarikh janji temu mereka manakala unit mobilisasi menyediakan pengangkutan untuk penerima vaksin Covid-19 mengambil suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV).

"Unit tindakan komuniti pula memberi perkhidmatan 'outreach' kepada masyarakat setempat bagi membantu pendaftaran pengambilan vaksin, memberi maklumat, kempen kesedaran tentang pengambilan vaksin dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pemakluman keputusan kerajaan berhubung wabak ini," katanya selepas melancarkan program itu di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi di Johor pada Sabtu.

Halimah berkata, seiring dengan program itu, pihaknya turut menyediakan PPV bergerak melibatkan 10 bas diubah suai untuk kegunaan di beberapa negeri antaranya Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu, seramai 498 individu dari gugusan Felda Lok Heng Barat, Timur dan Selatan telah menerima suntikan vaksin masing-masing menerusi program berkenaan.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin yang melancarkan program itu di Pulau Pinang hari ini berkata, program MOVAK telah dimulakan di PPV Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah di Kuala Lumpur minggu lepas dan menunjukkan respons yang baik dengan kadar vaksinasi meningkat sebanyak 30 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata selain tiga unit di bawah MOVAK, pihaknya juga menyediakan klinik bergerak untuk memudahkan pasukan mengunjungi golongan sasar seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta kawasan berkepadatan tinggi seperti di Program Perumahan Rakyat (PPR) atau perkampungan bagi memberi suntikan vaksin.

"Dari segi infrastruktur, kementerian sudah menyediakan bas untuk klinik bergerak ini tetapi kami perlu menyelaraskan tenaga kerja dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan doktor dan jururawat mencukupi," katanya. - Bernama