IJN sedia buka lebih banyak PPV bergerak

Dr Aizai Azan Abdul Rahim (tiga, kanan) memberikan penerangan berkaitan dengan operasi dan perjalanan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra Bukit Kepong hari ini. -Foto Bernama
Dr Aizai Azan Abdul Rahim (tiga, kanan) memberikan penerangan berkaitan dengan operasi dan perjalanan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra Bukit Kepong hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Institut Jantung Negara (IJN) sedia membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di seluruh negara terutama di kawasan pedalaman, sekiranya mendapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, usaha itu meliputi pembukaan sekurang-kurangnya satu PPV bergerak di setiap negeri.

“Bagi IJN, kami lebih menumpukan pembukaan PPV bergerak di kawasan pedalaman agar sasaran program imunisasi berkelompok dicapai.

“Di sini (Felcra Bukit Kepong) contohnya, kami akan memberikan suntikan terhadap 1,500 warga emas selama tiga hari bermula hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran PPV bergerak IJN yang pertama di Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra Bukit Kepong, di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pegawai Kesihatan Muar Dr Noorhaidah Ujang.

Sementara itu, Dr Sahruddin menyifatkan pelaksanaan PPV berkenaan adalah sesuai dan tepat pada masanya memandangkan kedudukan Felcra Bukit Kepong agak jauh dari bandar Muar dan pekan Pagoh yang masing-masing mempunyai PPV sendiri.

Sementara itu, seorang penerima vaksin, Sapartinam Selim, 62, gembira apabila lokasi untuk beliau mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 telah dipindahkan dari Muar ke PPV bergerak di SMK Felcra Bukit Kepong itu.

“Jika tiada PPV bergerak ini mungkin saya tidak akan ke Muar untuk mendapatkan vaksin kerana jaraknya terlalu jauh selain tiada kenderaan sesuai untuk ke sana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tinjauan Bernama di PPV bergerak berkenaan mendapati orang ramai memberi sambutan yang menggalakkan terhadap perkhidmatan itu dengan ada yang hadir seawal 7.45 pagi untuk mendapatkan suntikan.

Setakat 2 petang tadi, seramai 250 penerima dalam kalangan warga emas telah mendapatkan suntikan vaksin mereka. - Bernama