KBS minta MSN cari lokasi kuarantin berhampiran SIC

Reezal Merican mengadakan sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium hari ini. -Foto Bernama
Reezal Merican mengadakan sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia Dan Sukan (KBS) meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan lokasi kuarantin yang berdekatan dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) agar pelumba negara boleh menjalani latihan ketika tempoh berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berpendapat atlet sukan permotoran juga perlu diberikan kemudahan seperti di Kompleks Sukan Kampung Pandan seperti atlet negara yang dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik agar mereka sentiasa dalam keadaan cergas.

“Saya akan membawa perkara ini berhubung isu atlet permotoran negara untuk menjalani latihan ketika tempoh kuarantin kepada MSN kerana kita faham jika berada di hotel ia akan memberi kesan (kepada stamina mereka).

“Jadi untuk atlet permotoran ini, saya tengah fikirkan model yang sama macam Kompleks Sukan Kampung Pandan, tentu sekali kena cari tempat yang berdekatan dengan SIC untuk dijadikan kuarantin khas untuk mereka (atlet permotoran), mereka pulang travel back jangka masa singkat, jika menginap di hotel ini akan beri kesan.

“Permintaan itu sesuatu yang wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera memandangkan sukan permotoran menjulang nama negara di persada antarabangsa kebelakangan ini, antaranya kemenangan Sharifuddin Azman dan Hafizh Syahrin Abdullah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PPV Dewan Millennium, di sini pada Sabtu.

Reezal berkata demikian mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Pengurus Pasukan SIC Talent ZK Racing Zulfahmi Khairuddin semalam yang meluahkan kekecewaan terhadap penetapan bagi atlet permotoran yang terpaksa menjalani kuarantin 14 hari di hotel selepas pulang dari luar negara yang memberi kesan terhadap tahap kecergasan pelumba.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata terserah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat penilaian sama ada mahu menerima tawaran Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan diri menguruskan skuad Harimau Malaya.

Katanya, selaku Menteri Belia dan Sukan, beliau tidak boleh campur tangan dalam kuasa FAM dan membiarkan pengurusan FAM membuat keputusan terhadap tawaran itu namun berpandangan Tunku Ismail adalah personaliti yang mempunyai rekod cemerlang mengemudi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Artikel Berkaitan:

“Kalau TMJ sendiri yang sudah jelas rekodnya yang memiliki pasukan JDT, beliau ada pemacu kuat dalam pembangunan pasukan bola sepak terutamanya JDT berjaya, kemahuan melakukan pelaburan agak signifikan dan besar dalam sukan oleh JDT dan TMJ sendiri.

“Jadi ini satu pemacu yang boleh jadi dorongan kepada keupayaan melakukan lonjakan yang lain. Saya serahkan kepada FAM untuk memutuskan apa yang mereka fikirkan.. Biar FAM menilai, seperti saya sebutkan tadi bagi menilai TMJ, baginda ada rekod tersendiri,” katanya.

Tunku Ismail baru-baru ini menyatakan kesediaannya dengan menawarkan diri untuk mengendalikan dan menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa selepas ini.

Ia berikutan, kekalahan demi kekalahan dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam empat aksi antarabangsa yang dilalui setakat ini selepas berehat selama 18 bulan.