X

Kindly register in order to view this article
!

'Kelas mengaji terakhir'

Mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia. - Foto JBPM Perak
A
A

IPOH - "Malam tadi (Jumaat) arwah sempat buat kelas mengaji dalam talian dengan pelajarnya, itulah kelas terakhirnya sebagai guru," kata Abu Bakar Sideq Mohd Tahir, 32, yang kehilangan satu-satunya adik perempuan dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Chemor-Jelapang di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan sekitar jam 10.25 pagi itu, Noor Aishah Mohd Tahir, 26, guru di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Itqon dekat Manjung, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas kereta dipandu terperosok di bawah lori.

Abu Bakar berkata, arwah mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah itu pada awal tahun ini dan sangat komited dalam melaksanakan kelas dalam talian bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan.

"Sebelum ini, arwah mengajar mengaji di rumah sahaja, bila dapat mengajar di sekolah itu dan jadi warden pula, dia nampak sangat gembira.

"Malam tadi lepas maghrib, terus arwah sambung kelas online, dia buat video untuk semak bacaan al-Quran anak-anak muridnya.

"Arwah beritahu kelas mereka habis jam 9 malam, sempat juga saya kacau adik saya dan pelajarnya mengaji," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini pada Sabtu.

Abu Bakar
Abu Bakar

Abu Bakar Sideq berkata, nahas itu berlaku ketika arwah yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Gajah selepas selesai urusan penghantaran barang di Sungai Siput.

Menurutnya, arwah adiknya itu seorang yang rajin, sambil mengajar, dia juga ada mengambil tempahan buah dan membuat penghantaran ke rumah (COD).

"Saya dapat panggilan daripada polis sekitar jam 11.30 pagi memaklumkan adik terlibat kemalangan, pada mulanya memang terkejut kerana pagi tadi kami sempat bersarapan sama.

"Mak dan ayah sudah dimaklumkan, sedih memanglah sedih apatah lagi dia bongsu dalam keluarga ini. Apa-apapun kami sekeluarga reda dan menerima ketentuan takdir dengan hati yang tenang," katanya.

Keadaan kenderaan mangsa yang terperosok bawah lori dalam nahas di Jelapang pada Sabtu. - Foto JBPM Perak
Keadaan kenderaan mangsa yang terperosok bawah lori dalam nahas di Jelapang pada Sabtu. - Foto JBPM Perak

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tersusun Batu 6, Tanjung Tualang selepas selesai urusan bedah siasat di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut kereta terperosok bawah lori

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun hilang kawalan ketika melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Jelapang.

Menurut beliau, keadaan itu mengakibatkan kenderaan berat membawa muatan palet makanan haiwan masuk ke laluan kereta mangsa yang ketika itu berada di arah Jalan Chemor ke Jelapang.

"Rempuhan itu mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki mangsa kemek di seluruh bahagian.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, anggota bomba terpaksa mengambil masa lebih empat jam menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Nor Rasidamayati Abd Rasid berkata, operasi menyelamat mengalami sedikit kesukaran disebabkan keadaan lori bermuatan 24 tan yang menghempap kereta.

Lori berjaya dialihkan dengan bantuan kren. Foto: JBPM Perak
Lori berjaya dialihkan dengan bantuan kren. Foto: JBPM Perak

"Tiba di lokasi, didapati kejadian melibatkan sebuah lori yang merempuh dinding sebuah kilang barangan plastik di mana terdapat kereta berada di bahagian bawah lori berkenaan.

"Anggota telah mengambil tindakan awal dengan membuat pembersihan tumpahan minyak dan memotong punca elektrik di kawasan itu bagi memastikan operasi menyelamat dijalankan dalam keadaan selamat.

"Kita menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa ekoran muatan berat lori tersebut, namun mangsa berjaya dikeluarkan selepas kenderaan itu dialihkan dengan bantuan kren," katanya.

Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.28 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.10 petang.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!