Lebih 26,000 orang asli setuju terima vaksin

Abdul Rahman (kiri) menyantuni salah seorang daripada 27 orang Tok Batin yang menerima suntikan vaksin di Hospital Orang Asli Gombak hari ini.
 - Foto Bernama
Abdul Rahman (kiri) menyantuni salah seorang daripada 27 orang Tok Batin yang menerima suntikan vaksin di Hospital Orang Asli Gombak hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang asli yang bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini berjumlah 26,469 orang, meningkat kira-kira 11,000 berbanding dua minggu lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peningkatan ketara iaitu kira-kira 40 peratus itu susulan penubuhan Task Force Covid-19 Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada 4 Jun yang bertujuan menggalakkan komuniti itu mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Sehingga kini, kira-kira 103,428 orang asli telah menerima borang pendaftaran manual dan daripada jumlah itu, seramai 58,291 Orang Asli telah menyerahkan borang tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) untuk orang asli di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) pada Sabtu.

Semasa tinjauan itu, seramai 60 orang asli di Selangor yang terdiri daripada 27 Tok Batin serta 33 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di PPV berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai pendaftaran orang asli sebagai penerima vaksin, Abdul Rahman berkata penerimaan suntikan vaksin dalam kalangan Tok Batin memainkan peranan penting bagi menambah keyakinan masyarakat itu untuk mendaftar.

“Kita akan terus memujuk agar mereka bersetuju menerima vaksin dan sebab itu kita melancarkan ikon mereka iaituTok Batin divaksinkan dahulu hari ni... saya yakin Tok Batin akan memainkan peranan memujuk dan angka bersetuju akan makin meningkat lebih tinggi,” katanya.

Abdul Rahman berkata KPLB sudah mempunyai perancangan untuk bergerak ke kampung orang asli membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi vaksin Covid-19 seperti disarankan Tok Batin.

“KPLB sentiasa bekerja untuk memberi penerangan jelas, mematahkan maklumat tidak tepat yang berlegar di media sosial mengenai suntikan vaksin Covid-19 terhadap masyarakat luar bandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tok Batin di Kampung Tun Abdul Razak di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Asu Dollah yang menerima vaksin hari ini berkata beliau lebih yakin dapat menghindari jangkitan Covid-19 selepas menerima suntikan itu.

“Saya akan menjelaskan kepada anak buah di kampung supaya jangan takut terima vaksin dan jangan percaya mitos yang tular di aplikasi Whatsapp.

Seorang lagi Tok Batin di Kampung Kuala Pangsun di Hulu Langat, Selangor Andak Pendek berkata beliau sangat mengharapkan suntikan vaskin itu kerana beliau kerap bertemu orang ramai dan keluar ke bandar bagi menyelesaikan urusan harian.

Menurut laporan JAKOA, sehingga kini, seramai 82 orang Asli yang dijangkiti Covid-19 di dalam negara, manakala angka kematian melibatkan masyarakat itu mencatatkan tiga kes. - Bernama