PPMM bidas tindakan pihak insurans palsukan tandatangan

Che Hassan
Che Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) membidas tindakan sebuah syarikat insurans yang didapati memanipulasi tandatangan pemegang polisi.

Presiden PPMM, Che Hassan Che Johan berkata, persatuan itu berjaya mendapat pengesahan daripada Jabatan Kimia Malaysia berhubung pemalsuan tandatangan tersebut.

"Pemalsuan tandatangan ini disahkan oleh Jabatan Kimia Malaysia baru-baru ini dan mengesahkan wujud tindakan tidak bermoral syarikat berkenaan.

"PPMM bimbang kegiatan ini berleluasa dalam kalangan penggiat industri insurans di negara ini memandangkan kebanyakan pemegang polisi hanya menyerahkan urusan berkaitan kepada pihak insurans," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baru-baru ini, PPMM menerima aduan daripada seorang pemegang polisi insurans yang didapati gagal mendapat perlindungan berkaitan penyakit esofagus selepas tidak diluluskan oleh syarikat terbabit sejak tahun lalu.

Pengadu mendapati tandatangannya ditiru bagi tujuan pembaharuan polisi yang tidak diketahuinya selepas melanggan insurans berkenaan selama hampir berbelas tahun.

Sehubungan itu, Che Hassan berkata, perbuatan tersebut sangat membimbangkan kerana kebanyakan pemegang polisi hanya menyerahkan urusan berkaitan kepada pihak insurans.

"Laporan polis sudah dibuat oleh pengadu di Alor Setar Kedah berserta aduan kepada PPMM untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"PPMM sudah merujuk kes ini kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk tindakan susulan dan penjelasan kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, PPMM tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi kes yang sama dan mungkin tidak disedari pengguna sehingga membabitkan kerugian dalam jangka masa panjang.

"PPMM akan mengambil tindakan undang-undang dan melantik peguam bagi mewakili pengadu dan menawarkan pilihan penyelesaian di luar mahkamah bagi membolehkan pengadu diberikan keadilan sebaik mungkin," jelasnya.