Program naturalisasi FAM langkah praktikal

Dari kiri, Liridon dan De Paula antara pemain naturalisasi negara yang membawa cabaran Harimau Malaya pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Dari kiri, Liridon dan De Paula antara pemain naturalisasi negara yang membawa cabaran Harimau Malaya pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
A
A
A

PROGRAM naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah langkah praktikal berasaskan perkembangan terkini bola sepak dunia yang lebih bersifat global, kata penganalisis sukan Dr Pekan Ramli.

Sambil menggesa peminat bola sepak tanah air agar memberi ruang kepada FAM menentukan hala tuju prestasi skuad Harimau Malaya, Pekan menyifatkan program berkenaan mampu mencerahkan prospek skuad kebangsaan untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Beliau juga meminta peminat untuk memberi masa kepada badan induk itu untuk memperkemas mekanisme pemilihan sambil tidak menjatuhkan hukuman tergesa-gesa berdasarkan satu kejohanan sahaja.

“Seperti kita maklum, FAM memiliki pilihan terhad untuk menaturalisasikan pemain disebabkan syarat-syarat kelayakan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) agak ketat, termasuk seseorang calon perlu bermastautin selama lima tahun berturut-turut di sesebuah negara.

“Saya percaya jika dilakukan dengan telus menerusi penilaian dibuat sebuah jawatankuasa membabitkan pakar teknikal dan agensi kerajaan, projek ini boleh membawa hasil....yang penting, keputusan memberi kewarganegaraan kepada pemain tidak boleh diputuskan secara individu dalam FAM,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian susulan sentimen segelintir pihak mempertikai program naturalisasi FAM lebih-lebih lagi penampilan tiga pemain iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang dikatakan tidak berupaya memberi impak kepada pasukan negara ketika saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan kriteria ketat dan jelas dinyatakan FAM selain menganggap program naturalisasi itu sebagai satu kaedah merapatkan jurang dengan kuasa besar bola sepak di rantau Asia.

Selain membuat penilaian calon pemain dari segi prestasi semasa dan usia yang sesuai, Pekan turut mencadangkan agar pemain naturalisasi diwajibkan menyertai kursus kenegaraan dan jati diri sebagai satu cara untuk menjiwai tugas dan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

Skuad kebangsaan menamatkan saingan kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat ketiga selepas mengutip 12 mata sekali gus layak secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023. - Bernama