ADUN PKR kirim Kamus Dewan kepada Takiyuddin

Tangkap layar rakaman video yang dibuat Muhamad Arafat mengenai pemberian Kamus Dewan kepada Takiyuddin pada Sabtu. Gambar kecil: Gambar resit bukti penghantaran Kamus Dewan yang dikongsikan kepada media pada Sabtu.
Tangkap layar rakaman video yang dibuat Muhamad Arafat mengenai pemberian Kamus Dewan kepada Takiyuddin pada Sabtu. Gambar kecil: Gambar resit bukti penghantaran Kamus Dewan yang dikongsikan kepada media pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menghadiahkan sebuah Kamus Dewan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut beliau, tindakan berkenan dibuat sebagai sindiran untuk menteri yang menjaga Parlimen dan Undang-Undang itu mencari maksud perkataan segera.

Muhamad Arafat berkata, kenyataan Takiyuddin yang mengatakan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta agar persidangan Parlimen diadakan segera sebelum ini tidak ditetapkan tempoh masa tertentu sebagai angkuh.

"Oleh kerana itu, saya nak menghadiahkan kamus untuk menteri undang-undang, saudara Takiyuddin sekiranya tak faham bahasa dan maksud segera serta maksud secepat mungkin.

"Disebabkan tidak boleh merentas negeri, saya akan menghantar kamus ini melalui kurier ke pejabat beliau," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Sabtu.

Beliau berkata, Takiyuddin dilihat seolah-olah sengaja mentafsirkan kenyataan itu mengikut kepentingan diri dan politik.

Sementara itu, berdasarkan perkongsian gambar kepada media, bungkusan Kamus Dewan tersebut dihantar melalui perkhidmatan sebuah syarikat kurier pada Sabtu atas nama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta.

Pada 17 Jun lalu, Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata, pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen dibuat secepat mungkin tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah bertajuk 'Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya' yang disiarkan secara maya pada malam Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Agong berpandangan secepat mungkin, tak sebut bulan berapa: Takiyuddin