354,039 sudah terima dos pertama vaksin di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 354,039 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Johor dan daripada jumlah itu, 149,227 orang sudah menerima dos kedua sehingga 17 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu diambil kiri bermula pada 1 Mac lalu bagi program pemberian vaksin Covid-19 di Negeri Johor fasa dua yang dimulakan pada 29 April lalu.

Menurutnya, buat masa ini terdapat beberapa jenis Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi di negeri ini, meliputi 20 PPV awam, dua PPV Klinik Kesihatan, enam SPPV (special PPV), 1 PPV mega, 54 PPVGP (general practitioner), 11 PPVHS (hospital swasta), PPV mobile dan PPV industri.

“PPV mobile dilaksanakan di daerah-daerah bagi memberi imunisasi di institusi warga emas dan outreach di kawasan pedalaman. Sehingga 18 Jun lalu, seramai 6,852 individu telah diberi suntikan melalui PPV mobile.

“Selain itu, PPV Industri Pengerang pula telah bermula pada 16 Jun 2021 dan sehingga 18 Jun 2021 seramai 1,407 pekerja telah diberi imunisasi dos pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau, terdapat beberapa program yang dilaksanakan oleh agensi lain seperti projek rintis mobile vaccination program (MVP) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), PPV IPT (Institut Pengajian Tinggi) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) di Parlimen Parit Sulong pada 14 hingga 15 Jun lalu.

Selain itu, katanya, program vaksinasi bergerak Institut Jantung Negara (IJN) ke Pagoh pada 19 hingga 21 Jun dan Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti (MOVAK) di Felda Lok Heng, Kota Tinggi pada 19 Jun lalu.

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa Covid-19 di Johor, Vidyananthan berkata, keadaan masih membimbangkan dan menasihatkan masyarakat agar terus kekal di rumah dan hanya keluar apabila ada urusan penting sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, segera jalani pemeriksaan sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dan bawa keputusan ujian serta hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan untuk penilaian lanjut.

“Jika telah disahkan positif oleh mana-mana fasiliti kesihatan, sila jalani kuarantin kendiri walaupun belum dikeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian atau dipakaikan gelang pengawasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kegagalan menjalani kuarantin kendiri oleh mana-mana individu yang dijangkiti merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.