Terkejut jumpa ikan mola mola

Pemancing melihat ikan mola mola yang terdampar di kawasan pantai dekat jeti river criuse Kampung Meraga Beris, Kijal, Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Seorang pencari remis terkejut apabila menjumpai seekor ikan laut gergasi dipercayai ikan mola mola terdampar di tepi pantai berdekatan jeti star cruise Kampung Meraga Beris, Kijal, di sini, petang semalam.

Mahazdir Mohd Nor, 46, menemui ikan itu yang turut dikenali sebagai ikan matahari dan jarang ditemui di perairan Malaysia kira-kira jam 4 petang.

Mahazdir berkata, kehadiran ikan yang dianggarkan seberat hampir 100 kilogram berkenaan turut disedari lebih 10 pemancing yang sedang mengail di jeti berkenaan sebelum ikan itu ditarik ke darat.

"Saya tengah cari remis sebelum tiba-tiba lihat satu objek besar yang dibawa ombak dan terdampar di gigi air.

"Lepas didekati ia sebenarnya seekor ikan mola mola dan beberapa pemancing kemudian menarik ikan itu ke darat dari gigi air," katanya.

Menurutnya, ketika dibawa ke darat, ikan itu masih hidup namun usaha mereka untuk menyelamatkan ikan berkenaan gagal kerana ia mati tidak lama kemudiannya.

Di Asia Tenggara, ikan mola mola lazimnya dijumpai di kawasan laut dalam dan air yang sederhana sejuk di Indonesia terutamanya di Bali.

Ikan ini lazimnya menjadi buruan dalam kalangan nelayan di Filipina, Taiwan dan Jepun untuk dijadikan hidangan eksotik di negara berkenaan.

Di Indonesia, ikan ini antara 18 jenis hidupan marin yang dilarang ditangkap dan dijual bagi tujuan komersial.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia