Pusat Khidmat Indera Mahkota bantu bawa golongan sasar ke PPV

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini menyediakan kemudahan pengangkutan kepada golongan sasar seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kesukaran untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, kata ahli Parlimennya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, buat masa ini, dua buah van disediakan melibatkan perjalanan ke PPV dalam kawasan Parlimen itu iaitu Klinik Kesihatan (KK) Beserah, KK Indera Mahkota, KK Balok dan Wisma Belia.

"Setakat ini, lebih 100 orang telah menggunakan kemudahan ini dan kita mengalu-alukan mereka yang ada kekangan untuk menghubungi pusat khidmat saya beberapa hari sebelum tarikh vaksin bagi kita mengatur jadual perjalanan," katanya pada sidang akhbar secara maya di sini pada Sabtu.

Saifuddin yang juga Pengerusi Bersatu Pahang berkata, selain pengangkutan, pusat khidmatnya juga membantu mendaftarkan penerima vaksin sejak awal Mac lepas dengan jumlah mereka yang berjaya didaftarkan setakat ini seramai 1,000 orang.

Pendaftaran itu, menurut Saifuddin sebelum ini turut meliputi kaedah kaunter bergerak di pasar malam sekitar Indera Mahkota, namun ia dihentikan selepas Kuantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 24 Mei lepas.

"Bagaimanapun, kempen kesedaran vaksin terus digerakkan melibatkan hebahan menggunakan van bergerak dan media cetak termasuk edaran 5,000 risalah dari rumah ke rumah serta 40 kain rentang di kawasan strategik seperti persimpangan jalan dan kawasan perumahan," katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pusat khidmatnya itu turut mengedarkan 1,000 pek makanan tengah hari kepada petugas di PPV selain menyediakan 3,000 pek makanan ringan kepada penerima vaksin dan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan. - Bernama

Artikel Berkaitan: