Tingkah laku tidak beretika peguam perlu dipandang serius

Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan Peguam Malaysia memandang serius laporan polis yang dibuat Ketua Hakim Negara terhadap seorang peguam yang mendakwa keputusan yang dibuat oleh Badan Kehakiman boleh dipengaruhi.

Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas Krishnan Gnanaprakasam berkata, tingkah laku tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh anggota komuniti undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan tingkah laku tidak bertanggungjawab dan tidak beretika yang akan mencemarkan nama baik bidang itu.

“Kami mengambil serius perkara-perkara berkaitan integriti anggota kami dan tidak membenarkan tindakan sedemikian. Jika terbukti benar, ia dianggap sebagai salah laku.

“Amalan seperti itu yang dilaporkan dalam laporan berita bukan hanya merendahkan nama baik seluruh profesion hukum tetapi pada dasarnya mengikis kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat sebagai penegak undang-undang dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, orang ramai harus yakin wujudnya saluran bagi melakukan aduan terhadap peguam melalui Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara.

Jelasnya, lembaga tersebut berperanan untuk menyiasat aduan terhadap peguam yang berkaitan dengan salah laku mereka.

“Badan Peguam Malaysia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami bersedia membantu pihak polis jika diperlukan untuk mempertahankan maruah dan integriti profesion undang-undang.

“Kami komited dalam memastikan bahawa sistem keadilan tidak terpengaruh dan dipertanggungjawabkan kepada aturan undang-undang,” ujarnya.