X

Kindly register in order to view this article
!

Kepimpinan, integriti harus selari

Majlis pelancaran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) sekali gus Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang diadakan secara maya pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Bagi melahirkan sebuah negara yang betul-betul bebas daripada budaya rasuah, kepimpinan dan integriti haruslah selari, kata Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.

Menurut beliau, pemimpin perlu mempunyai nilai kredibiliti yang tinggi malah bebas daripada sebarang salah laku agar ia dapat memberi imej yang baik dalam sesebuah institusi diwakilinya.

Selain itu, beliau berkata, keyakinan orang ramai juga akan menjadi lebih teguh sekiranya institusi itu mengamalkan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik atau 'good governance'.

“Justeru, pemimpin pewaris masa hadapan hendaklah diasuh berani berkata benar. Ini kerana keberanian menyatakan kebenaran melambangkan ketinggian tahap integriti seseorang,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, program MYACT hasil daripada sokongan SPRM, Rasuah Busters, MBM dan Malaysia Reform Initiative atau (MRI) merupakan bukti komitmen PKPIM memerangi rasuah terutama dalam kalangan generasi muda, mahasiswa dan belia.

Menurut Ahmad Farhan, isu rasuah dalam kalangan belia pada hari ini begitu membimbangkan.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan SPRM pada tahun 2018, seramai 55 peratus golongan belia dan mahasiswa cenderung untuk menerima serta memberi rasuah.

“Justeru, bagi memastikan golongan belia pada hari ini bebas rasuah, pelbagai usaha akan dilakukan dari segi advokasi, kempen dan kesedaran sosial,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Farhan turut berharap agar pimpinan belia dan mahasiswa di Malaysia dapat berpartisipasi dalam usaha memerangi rasuah di negara.

Katanya, sebanyak enam siri bengkel akan diadakan di seluruh negara dan setakat ini enam zon telahpun dikenal pasti iaitu zon utara, zon timur, zon tengah, zon selatan, zon Sarawak dan zon Sabah.

“Bengkel ini akan melatih belia memahami bahayanya rasuah sekali gus menjadikan sebuah gerakan berskala massa yang berperanan sebagai pemberi maklumat atau whistleblower kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Rakyat sudah tinggalkan nilai agama'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!